PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel memberi arahan kepada pemainnya ketika tewas 0-3 di tangan Leeds United. FOTO Reuters
PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel memberi arahan kepada pemainnya ketika tewas 0-3 di tangan Leeds United. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel meredakan keperluan menandatangani pemain baharu selepas pasukannya tewas 0-3 di Leeds United, semalam, dengan menyatakan pasukan sekarang sepatutnya memenangi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Sebelum ini, Tuchel menyatakan Chelsea mahu mendapatkan seorang penyerang dan bek tengah sebelum jendela perpindahan pemain berakhir, tetapi tidak akan melakukan pembelian panik.

Sekalipun mendapatkan bek tengah Senegal, Kalidou Koulibaly dari Napoli, benteng Chelsea kelihatan longgar selepas Antonio Rudiger dan Andreas Christensen meninggalkan kelab itu.

"Tempoh jendela perpindahan pemain masih ada, ia kemudian dan kemudian, jadi kami perlu fokus kepada apa yang ada serta boleh dilakukan," kata Tuchel selepas perlawanan di Leeds.

Dua gol dalam tempoh lima minit pada babak pertama menyaksikan tuan rumah mendahului 2-0 pada ketika Chelsea yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, gagal menyaingi intensiti lawan.

"Semuanya dalam keadaan baik. Saya masih percaya kami boleh menang dengan barisan pemain ini di Leeds. Ia lebih kepada kesilapan kami sendiri," kata Tuchel.

Menurutnya, dia tidak terkejut apabila pasukannya tewas selepas mempamerkan prestasi hebat ketika seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur, Ahad minggu lalu.

"Tiada masa untuk terkejut. Untuk tempoh 20 minit permainan, kami melakukannya. Tetapi, kami membuat kesilapan yang menjejaskan penguasaan kami dan kesempatan untuk mencipta lebih banyak peluang," kata Tuchel.

"Tetapi, kami bukan dalam keadaan tertekan. Kami tidak terdesak."

Kesilapan mudah penjaga gol, Edouard Mendy membolehkan pemain Amerika Syarikat (AS), Brenden Aaronson menjaringkan gol pertamanya di EPL pada minit ke-33, sebelum Rodrigo menanduk masuk gol keempat peribadi musim ini untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:15 AM