PEMAIN pertahanan Chelsea, Reece James (kanan) berebut bola dengan pemain Arsenal, Gabriel Martinelli. FOTO REUTERS
PEMAIN pertahanan Chelsea, Reece James (kanan) berebut bola dengan pemain Arsenal, Gabriel Martinelli. FOTO REUTERS
Agensi

London: 'Pramusim adalah palsu.' Ungkapan itu dibuat Jose Mourinho pada 2015 selepas Chelsea tewas 2-4 kepada New York Red Bulls untuk mengurangkan kepentingan aksi pramusim dan menenangkan debaran menjelang musim baharu.

Bagaimanapun, ia berlaku sebaliknya. Pada Disember tahun sama, Mourinho dipecat dari Stamford Bridge selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas kali kesembilan daripada 16 perlawanan musim itu.

Sukar untuk tidak mengaitkan kekecewaan pramusim Mourinho di Amerika Utara dengan jelajah pramusim longlai Thomas Tuchel di Amerika Syarikat (AS), bulan ini.

Tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Charlotte dan dibelasah 0-4 oleh Arsenal yang turut memburu empat kedudukan teratas EPL, menggambarkan Chelsea agak ketinggalan sedangkan liga akan bermula tidak lama lagi.

Malah, sama seperti 2015, ada bisikan berlaku pergolakan di kem the Blues jika Tuchel menganggap kekalahan di Orlando itu tidak memberi sebarang makna.

"Kami memang tidak kompetitif," katanya. "Perkara membimbangkan adalah tahap komitmen, fizikal dan mental...Arsenal jauh lebih tinggi berbanding kami."

Chelsea boleh dimaafkan dengan prestasi lemah di peringkat ini berikutan kemasukan dan pemergian beberapa tonggak pada musim panas ini, tetapi kurang komitmen harus menjadi kerisauan.

Pergolakan di bilik persalinan Stamford Bridge muncul kali pertama pada Disember lalu apabila Romelu Lukaku menyatakan keinginannya untuk meninggalkan kelab itu kepada media Itali.

Kelab itu berharap langkah meminjamkan semula penyerang Belgium itu kepada Inter boleh mengelakkan isu seterusnya, tetapi komen Tuchel menunjukkan beberapa pemain turut mahu meninggalkan pasukan.

"Kami kurang daripada segi komitmen mental berikutan ada beberapa pemain berfikir untuk meninggalkan pasukan dan sedang membuat pilihan," kata Tuchel.

"Kami dikenakan sekatan dan pemain meninggalkan pasukan. Kami sedar ada pemain yang mahu meninggalkan pasukan dan inilah yang berlaku."

Mengucapkan selamat tinggal kepada dua bek tengah, Andreas Christensen dan Antonio Rudiger secara perpindahan percuma bukan saja memberi kesan kepada masalah kewangan Chelsea.

Malah, kehilangan tonggak penting benteng itu menjejaskan pertahanan pasukan pada awal musim, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada Kalidou Koulibaly yang baru saja berhijrah dari Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 1:18 PM