PENYERANG PJ City FC dan juga kebangsaan, Darren Lok (tengah) terus disandarkan harapan untuk merobek gawang Selangor FC malam esok. FOTO Ihsan PJ City FC
PENYERANG PJ City FC dan juga kebangsaan, Darren Lok (tengah) terus disandarkan harapan untuk merobek gawang Selangor FC malam esok. FOTO Ihsan PJ City FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC bertekad untuk menamatkan keputusan dan aksi hambar yang diperoleh dalam tujuh perlawanan terdahulu, apabila turun menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Keazaman tinggi itu disuarakan Pengurus PJ City, K Rajendran, yang menegaskan bahawa tiada istilah putus asa buat pemain pasukan itu selagi kemenangan yang diinginkan belum menjelma.

Katanya, pemain pasukan itu akan meningkatkan lagi usaha bagi mendapatkan kemenangan pada perlawanan menentang Selangor ini, walaupun menyedari tugas berat bakal dihadapi pada aksi itu nanti.

"Pemain tidak akan berputus asa untuk membawa pasukan mencapai kemenangan. Memang kita amat dahagakan tiga mata kerana tujuh perlawanan terakhir lalu mencatatkan keputusan seri.

"Biarpun keputusan itu tidak seburuk berbanding jika tewas, tetapi ia tidak mampu membantu pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta liga ketika pasukan lain sudah berjaya menunjukkan kemajuan.

"Saya berharap pemain PJ City dapat menunjukkan persembahan yang lebih baik dan menjaringkan gol kemenangan pada pertembungan dengan Selangor ini, bagi membantu pasukan menamatkan keputusan kurang baik yang diraih sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yakin skuad bimbingan P Maniam itu mampu memberikan cabaran terhadap Selangor dan berpeluang mencipta kemenangan, jika setiap pemain dapat meningkatkan sedikit lagi peratusan persembahan mereka berbanding apa yang telah dipamerkan pada aksi sebelum ini.

Menurutnya, pada perlawanan menentang Sarawak United FC dan beberapa perlawanan lain sebelum ini, banyak peluang jaringan berjaya dicipta barisan serangan, namun faktor ketidaktepatan ketika melakukan percubaan ke arah gol, menyebabkan kemenangan diinginkan tersasar.

"Saya amat berharap pemain yang disandarkan harapan terutama barisan penyerang PJ City seperti Darren Lok, Khyril Muhymeen, Mahali Jasuli, R Ruventhiran, S Kumaahran dapat membentuk gandingan mantap dalam usaha menajamkan lagi penyudahan jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 2:46 PM