GURUSAMY masih kurang cergas dan memerlukan rawatan lebih lama. FOTO MFL
GURUSAMY masih kurang cergas dan memerlukan rawatan lebih lama. FOTO MFL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC dijangka tidak dapat menggunakan khidmat kapten mereka, K Gurusamy, dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC), di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 April depan.

Perkara ini disahkan Pengurus pasukan itu, K Rajendran, yang memaklumkan pemain berpengalaman berkenaan masih kurang cergas dan memerlukan rawatan lebih lama selepas dia mengalami kecederaan lutut ketika menentang Sabah FC, baru-baru ini.

"Dalam senarai ketika ini terdapat sekurang-kurangnya empat pemain pasukan yang mengalami kecederaan, namun Gurusamy agak serius dan memerlukan tempoh lebih sedikit untuk pulih.

"Pemain lain antaranya Darren Lok yang dijangkiti Covid-19 sudah pulih dan tidak menghadapi masalah untuk dia diturunkan pada perlawanan 6 April nanti, malah khidmat pemain utama yang lain juga boleh dimanfaatkan.

"Setakat ini pemain yang mengetuai di barisan hadapan seperti Khyril Muhymeen (Zamri) akan beraksi seperti biasa, cuma kita perlu mencari pengganti Gurusamy di posisi tengah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rajendran, pemain terbabit perlu diberikan pemulihan sepenuhnya sebelum dibenarkan beraksi kerana perjuangan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih jauh.

Beliau bagaimanapun tidak terlalu bimbang akan situasi itu kerana yakin kepada kemampuan barisan pemain yang ada dan perancangan ketua jurulatih, P Maniam, dalam memastikan persembahan keseluruhan pasukan tidak terjejas.

Katanya, pihaknya mengharapkan setiap pemain yang diberikan tugas menggalas cabaran pasukan dapat memberikan komitmen lebih 100 peratus, bagi memastikan kemenangan yang diinginkan tercapai.

"Perlawanan ketiga liga ini akan berlangsung di laman sendiri dan sudah tentu kita memiliki peluang untuk meraih kemenangan.

"Namun, kita kena berhati-hati kerana Terengganu akan beraksi buat pertama kali musim ini dan sudah tentu mereka akan berhabisan untuk mencipta kemenangan sulung," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemain skuad berkenaan dapat mengulang aksi cemerlang

ketika mencatat kemenangan ke atas Melaka United FC pada aksi pertama liga sebelum ini.

"Setakat ini saya lihat persembahan ketika menang ke atas Melaka United tempohari adalah yang terbaik dan saya berharap persembahan serupa dapat dipamerkan pada pertemuan dengan Terengganu nanti.

"Saya juga berharap kemenangan yang kita capai ke atas Kelantan FC dalam aksi Piala FA, yang baharu lalu, mampu diteruskan ke atas Terengganu pula," katanya, yang mengesahkan pemain pasukan itu akan kembali menjalani latihan secara bersemuka di padang, esok, selepas beberapa hari berlatih secara bersendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 6:17 PM