PEMAIN PJ City FC (kiri) dengan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu. -FOTO Ihsan PJ City FC.
PEMAIN PJ City FC (kiri) dengan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu. -FOTO Ihsan PJ City FC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketiadaan penyerang kebangsaan, Darren Lok, antara faktor yang tidak boleh dinafikan dan memberi kesan kepada jentera serangan PJ City FC, selepas sekadar meraih satu mata selepas seri dengan Penang FC, dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, walaupun anak buah P Maniam berjaya memperagakan aksi mantap, namun ketumpulan penyudah membuatkan rentetan peluang di hadapan pintu gol lawan tidak dapat disempurnakan dengan baik.

Katanya, penyerang utama pasukan, Darren tidak dapat beraksi kerana mengutip tiga kad kuning dalam aksi sebelum ini.

"Jika Darren berada dalam pasukan, mungkin keputusan berubah, tapi secara keseluruhan sememangnya persembahan pasukan adalah baik apabila mereka dapat menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta banyak peluang.

"Tanpa Darren, terdapat kekurangan di bahagian serangan biarpun kita ada Mahali Jasuli, Kogileswaran Raj, Kumaahran, Khyril Muhymeen, tapi tidak cukup untuk menembusi benteng Penang.

"Bagaimanapun keputusan seri itu boleh dianggap memadai kerana beraksi di gelanggang lawan, walaupun sasaran kita untuk mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PJ City merekodkan keputusan seri ketiga setakat ini selepas diikat 1-1 dengan skuad Harimau Kumbang dalam aksi di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga ke lapan carta liga dengan mengumpul sembilan mata.

Penang pula kekal berada di dasar liga apabila belum mencatat sebarang kemenangan selepas melalui sembilan perlawanan.

Mengulas lanjut, Rajendran, berkata usaha akan dilakukan bagi memperkasakan lagi skuad berkenaan terutama di bahagian serangan dalam mendepani cabaran akan datang khususnya menentang Johor Darul Ta[zim (JDT) di tempat lawan minggu hadapan.

Tegas beliau, PJ City perlu menganjak dari kedudukan sekarang ke posisi lebih baik dalam carta, untuk memastikan sasaran kekal dalam Liga Super musim hadapan tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 1:18 PM