DARREN Lok sandaran PJ City buru gol. FOTO PJ City.
DARREN Lok sandaran PJ City buru gol. FOTO PJ City.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC berharap kedudukan di tangga ke-10 carta Liga Super ketika ini mampu diubah selepas pertembungan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

PJ City merekodkan empat perlawanan terakhir tanpa kemenangan kecuali dua seri iaitu dengan Penang FC dan Kedah Darul Aman FC dengan terbaharu tewas kepada Johor Darul Ta`zim (JDT), 0-4, pada 28 Jun lalu.

Pengurus pasukan, K Rajendran, sehubungan itu berkata, skuad bimbingan P Maniam perlu bangkit dengan persembahan lebih baik dalam memastikan keputusan positif dicapai pada pertembungan dengan KL City, untuk mengelak jurang yang terus melebar di dasar liga.

"Memang pasukan perlu kembali mencatat kemenangan pada perlawanan akan datang terutama menentang KL City malam esok, untuk memastikan kita dapat ubah kedudukan dalam kelompok bawah carta liga.

"Biarpun tugas itu bukan mudah, namun ia menuntut komitmen tinggi setiap pemain kerana KL City bukan calang pasukan dan mereka ada kekuatan tersendiri yang tidak boleh diambil mudah.

"Saya berharap pemain PJ City dapat memperagakan aksi mantap dalam pertembungan malam esok sepertimana mereka tunjukkan dalam latihan dan saya juga yakin bukan sesuatu yang mustahil, untuk kita dapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Rajendran, persiapan rapi bagi memantapkan persembahan pasukan terus diberikan keutamaan meskipun khidmat pemain tengah berpengalaman, Mohd Nasir Basharudin, tidak dapat ditagih kerana bekas pemain Perak FC dan Terengganu FC itu mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada lutut yang serius.

Katanya, sandaran utama akan dipertaruhkan kepada gandingan pemain kebangsaan dan bepengalaman seperti Darren Lok, K Kogileswaran, S Kumaahran, Mahalli Jasuli dan Khyril Muhymeen Zambri bagi memburu jaringan kemenangan.

"Saya berharap barisan penyerang pasukan seperti Darren dapat beraksi cemerlang dan membuktikan keupayaan mereka untuk membantu pasukan meraih kemenangan ke atas KL City.

"Kita perlukan kemenangan ini untuk menjarakkan diri daripada kelompok tiga atau empat pasukan di bawah carta liga," katanya yang menuntut pemain pasukan lebih bijak menyambar peluang jaringan.

PJ City yang mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan sudah menamatkan sembilan perlawanan liga dengan hanya meraih dua kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan untuk mengumpul sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 2:34 PM