STRATEGI sama dijangka bakal digunakan bagi menaikkan motivasi pemain apabila turun menentang Malaysia yang dilihat lebih berpeluang cerah untuk layak ke peringkat berikutnya. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Thailand
STRATEGI sama dijangka bakal digunakan bagi menaikkan motivasi pemain apabila turun menentang Malaysia yang dilihat lebih berpeluang cerah untuk layak ke peringkat berikutnya. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Thailand
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Thailand dijangka turun dengan iltizam tinggi untuk menewaskan Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan J Kelayakan Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia esok.

Keazaman tinggi itu bukan saja hadir atas semangat untuk memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan, malah habuan lumayan turut bakal membakar jiwa skuad muda Gajah Perang itu.

Pemberian 'durian runtuh' itu pastinya mampu melonjakkan semangat pemain-pemain Worrawoot Srimaka seperti mana yang dilakukan ketika mereka membenam Laos 3-0 sebelum ini.

Menurut laporan dari SiamSport, setiap pemain Thailand dijanjikan bonus kemenangan sebanyak RM125,000 sebelum aksi menentang Laos.

Ternyata langkah pengurus pasukan, Madam Pang berjaya menyuntik semangat pemain Thailand yang berjaya bangkit selepas seri 1-1 dengan Mongolia pada perlawanan pertama.

Lantas, strategi sama dijangka bakal digunakan bagi menaikkan motivasi pemain apabila turun menentang Malaysia yang dilihat lebih berpeluang cerah untuk layak ke peringkat berikutnya.

Berdasarkan pengiraan matematik, skuad kendalian Brad Maloney hanya memerlukan satu mata atau keputusan seri ketika bertemu Thailand untuk muncul juara kumpulan berbanding lawan yang wajib melakar kemenangan.

Untuk rekod, hanya juara akan layak automatik ke pusingan akhir manakala empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan turut layak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:21 PM