TIMBALAN Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin. FOTO ARKIB NSTP
TIMBALAN Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menyifatkan kuantiti kontinjen negara ke temasya Olimpik Paris 2024 tidak mencerminkan keseluruhan prestasi pasukan.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, ini kerana persiapan atlet pada edisi Olimpik kali ini lebih menjurus kepada persediaan untuk merangkul emas pertama.

Atas sebab itu program Road To Gold diwujudkan untuk memastikan persiapan terbaik buat atlet yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk meraih emas berkenaan.

"Seperti dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, (Hannah Yeoh), RTG adalah sasaran negara untuk meraih emas pertama. Itu sasaran kita kali ini.

"Jadi kami di MSN bergerak mengikut program ke arah mendapatkan emas itu.

"Itu objektif dan perancangan utama dalam mempersiapkan kontinjen negara kali ini," katanya.

Setakat ini, kontinjen negara ke Paris 2024 akan dibarisi 25 atlet dengan jumlah sebenarnya akan diketahui pada 8 Julai ini.

Sasaran emas pasti diletakkan di bahu lapan pemain badminton terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Begitupun peluang Datuk Azizulhasni Awang meraih emas turut terbuka berdasarkan pencapaiannya meraih perak acara keirin di temasya Tokyo 2020.

Penampilan skuad berbasikal negara turut disertai Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menerusi acara trek manakala Nur Aisyah Mohammad Zubir dalam acara lebuh raya.

Memanah pula menyaksikan penyertaan Ariana Nur Dania Mohd Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dalam acara recurve berpasukan manakala Ariana turut layak dalam acara recurve individu.

Selebihnya adalah atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy bersama Nur Shazrin Mohamad Latif; badang angkat berat, Aniq Kasdan dan penembak, Johnathan Wong.

Pada edisi Olimpik yang lalu, kontinjen negara membawa pulang satu perak dan satu gangsa menerusi Azizul dalam acara keirin dan gangsa menerusi Aaron-Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 6:55 PM