HAALAND meraikan gol jaringannya. FOTO Reuters
HAALAND meraikan gol jaringannya. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Kejayaan Erling Haaland menyamai rekod jumlah gol terbanyak di Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh semusim menafikan pandangan bahawa ia memerlukan masa untuk menyerlah di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sensasi Norway itu menyempurnakan sepakan penalti ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Fulham di tempat lawan, semalam sekali gus menyaksikannya sudah meledak 34 gol pada saingan liga, menyamai rekod yang pernah dilakukan Alan Shearer serta Andy Cole.

Dalam proses itu, pemain berusia 22 tahun itu sudah menjaringkan gol peribadi ke-50 musim ini untuk City dalam semua pertandingan.

Kadar jaringan bintang Norway menyaksikannya lebih hebat berbanding legenda terdahulu yang perlu mengharungi 42 perlawanan semusim.

Shearer beraksi kesemua 42 perlawanan pada musim 1994/95 ketika dia membantu Blackburn untuk merebut gelaran liga, manakala Cole membuat 40 penampilan pada tahun sebelumnya untuk Newcastle.

Haaland hanya memerlukan 30 perlawanan untuk mencapai 34 gol, malah sudah pun mengatasi rekod pemain Liverpool, Mohamed Salah, yang terdahulu mencipta rekod baharu untuk 38 perlawanan semusim.

"Jika anda impikan penyerang hebat, Erling adalah apa yang anda perlukan," kata Shearer kepada The Athletic.

"Dia adalah mesin gol, seorang pemain yang sangat pantas, mempunyai fizikal hebat serta bagus dalam perebutan di udara selain mampu menjaringkan gol dengan kedua-dua kakinya."

Keazaman City bersaing dengan beberapa kelab elit Eropah untuk mendapatkan tandatangan penyerang itu tahun lalu, dibayar dengan harga berbaloi.

"Dia adalah anugerah kepada kami semua. Dia adalah pemain yang hebat dan mentalitinya sentiasa fokus," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 8:22 AM