KHYRIL Muhymeen (tengah) ketika menentang JDT dalam saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan PJ City FC.
KHYRIL Muhymeen (tengah) ketika menentang JDT dalam saingan Piala Malaysia musim ini. FOTO Ihsan PJ City FC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Rangkaian tiga serangkai gandingan Darren Lok, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan R Kogileswaran menjadi taruhan utama skuad Petaling Jaya (PJ) City FC, pada saingan Piala Malaysia yang akan kembali bersambung, 29 Oktober ini.

Ini ditegaskan pengurus pasukan itu, K Rajendran, yang mengakui ketiga-tiga pemain berkenaan bakal dijadikan sandaran dalam misi memburu kemenangan pada baki saingan peringkat Kumpulan D.

"Berbanding pasukan lain yang memiliki pemain import, kami menaruh harapan tinggi kepada tiga tonggak barisan hadapan ini iaitu Darren Lok, Khyril Muhymeen dan Kogileswaran, untuk membantu meraih kemenangan dalam baki saingan peringkat kumpulan.

"Ketiga-tiga pemain ini telah menunjukkan keserasian dan gandingan mantap dalam latihan dan aksi persahabatan, yang diadakan sepanjang tempoh rehat.

"Kami yakin mereka akan dapat membantu pasukan untuk mendapatkan keputusan yang baik terutama pada aksi menentang Kelantan FC di gelanggang sendiri, 29 Oktober nanti," katanya hari ini.

Rajendran berkata, persiapan pasukan bagi menghadapi perlawanan ketiga peringkat kumpulan itu ketika ini berjalan lancar dengan semua pemain dilihat dalam motivasi yang tinggi.

Menurutnya, pasukan itu mengadakan tiga aksi persahabatan dengan mencatatkan dua kemenangan iaitu mengatasi UiTM FC 1-0 dan 3-1 ke atas skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan manakala tewas kepada Selangor, 0-1.

"Keputusan yang memberangsangkan dalam aksi persahabatan itu menyuntik motivasi dan keyakinan yang tinggi kepada pemain, namun usaha meningkatkan lagi tahap prestasi pasukan terus diberikan perhatian.

"Kami sedar, cabaran yang bakal dihadapi nanti lebih berliku dan pasukan perlu bangkit mencatat kemenangan pada aksi akan datang bagi memastikan peluang layak ke suku akhir tidak tersasar.

"Justeru, kami mahu menggunakan peluang menentang Kelantan di gelanggang sendiri nanti dengan sebaiknya bagi mendapatkan tiga mata," katanya.

Rajendran berkata, PJ City sudah menetapkan sasaran untuk melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

"Oleh itu, kami perlu menang pada baki saingan untuk merealisasikan sasaran berkenaan," katanya.

Selepas mengharungi dua perlawanan, PJ City kini berada di kedudukan ketiga carta Kumpulan D selepas meraih satu mata hasil seri dengan Sabah FC dan sebelum itu tewas kepada Johor Darul Ta[zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 4:03 PM