PENGALAMAN Mahali Jasuli ditagih PJ City FC apabila melayan JDT di Stadium MBPJ, malam esok. FOTO ihsan PJ CITY FC
PENGALAMAN Mahali Jasuli ditagih PJ City FC apabila melayan JDT di Stadium MBPJ, malam esok. FOTO ihsan PJ CITY FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC mahu mengenepikan realiti jurang antara mereka dengan Johor Darul Ta'azim (JDT) menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Biarpun sedar jurang itu amat jauh, skuad bimbingan P Maniam tetap mahu bersikap optimis dengan harapan dapat mencipta kejutan ke atas juara Piala FA itu.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, persiapan terbaik terutama dalam usaha memperkemaskan lagi jentera pasukan sudah dilakukan menjelang perlawanan itu, malah semua pemain utama berada dalam keadaan baik serta bersemangat tinggi.

Katanya, pihaknya mengakui reputasi besar JDT yang kini memimpin carta liga selain kejayaan memenangi Piala FA menewaskan Terengganu FC (TFC), 3-1, Sabtu lalu.

"Memang satu perlawanan sukar dan tugas berat bakal menanti pemain PJ City jika melihat kepada reputasi besar JDT berbanding pasukan kami yang berada dalam tiga kelompok terbawah carta liga.

"Namun, saya sudah mengingatkan pemain supaya sentiasa fokus dan berusaha kekalkan persembahan terbaik seperti dipamerkan dalam perlawanan sebelum ini.

"Kali terakhir kami beraksi menentang Selangor FC pada 21 Ogos lalu dan berjaya mencapai kemenangan, jadi saya minta mereka kekalkan keyakinan dan sentiasa bersikap positif bahawa dalam bola sepak apa pun boleh berlaku," katanya.

Menurut Rajendran, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan keputusan positif.

Katanya, mereka mengharapkan pemain utama seperti Darren Lok, Khairyl Muhaimeen, K Gurusamy dan Mahali Jasuli dapat memainkan peranan lebih efektif untuk memastikan pasukan mencapai keputusan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 9:23 PM