TFC akan menentang JDT pada final Piala FA.
TFC akan menentang JDT pada final Piala FA.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya lapan aksi Liga Super (LS) dan lima aksi Liga Perdana (LP) terpaksa dikemas kini semula bagi memberi laluan dan persiapan buat dua finalis akhir Piala FA membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC, pada 10 September ini.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), perubahan jadual itu membabitkan aksi LS minggu ke-18, aksi tertangguh LS dan aksi terakhir LP.

Lantas, MFL berharap penyokong yang sudah menempah tiket penerbangan bagi menyokong pasukan masing-masing menghubungi kelab, untuk MFL menyelesaikan isu tempatan itu.

"Kepada peminat yang mungkin menempah tiket penerbangan mereka untuk mana-mana perlawanan ini, sila hubungi wakil kelab anda dengan resit pembelian penerbangan anda untuk MFL memastikan penyelesaian diusahakan untuk anda, seperti yang dilakukan dengan peminat beberapa kelab pada perlawanan yang ditangguhkan sebelum ini," kata badan pengelola Liga Malaysia itu.

Antara aksi yang dikemas kini adalah aksi LS minggu ke-18 (LS18) yang asalnya dijadual pada 10 September babitkan Melaka United FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC bertemu Kuala Lumpur City FC akan diawalkan sehari.

Dua lagi aksi LS18 di antara Terengganu dan Penang FC pada 9 September bakal dipinda pada 14 September manakala pertemuan PJ City FC dengan JDT pada 11 September pula ditetapkan pada 15 September ini.

Satu lagi aksi LS18 di antara Sabah FC dan Selangor FC kekal pada 10 September namun waktu perlawanan dari jam 7.30 malam diawalkan ke jam 7 malam, bagi memberi laluan kepada aksi akhir Piala FA yang akan bermula jam 9 malam.

Sementara perlawanan tertangguh LS9 antara Terengganu dan Melaka United pada 2 September dipinda pada 3 September manakala aksi tertangguh LS17 antara JDT menentang Melaka United pada 7 September terpaksa diawalkan pada 29 Ogos ini.

Turut diluluskan oleh MFL adalah permohonan KDA FC bagi pindaan perlawanan tertangguh LS16, KDA FC dengan Penang FC pada 1 September kepada 2 September.

Dalam pada itu, tarikh final Piala FA ini turut menjejaskan jadual perlawanan terakhir LP, LP18 di mana semua perlawanan yang dijadual berlangsung pada 11 September akan ditukar pada 17 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:34 PM