AIDIL memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan di Stadium Darul Aman. FOTO KDA FC
AIDIL memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan di Stadium Darul Aman. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menyedari skuadnya berhadapan cabaran cukup getir apabila bakal mengharungi jadual lebih padat sebaik kembali memulakan baki perlawanan tertunda Liga Super bermula Jumaat ini.

Persiapan diri dari segi mental dan fizikal menjadi fokus utama skuad Hijau Kuning dalam menghadapi sembilan aksi dalam tempoh sebulan akan datang termasuk tiga perlawanan awal menentang Selangor FC bermula Jumaat ini, diikuti Penang FC dan Terengganu FC pada 17 Ogos dan 21 Ogos.

Sebaik menerima berita pengumuman perubahan jadual yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam, Aidil sangat berharap agar setiap pemainnya kekal tenang dan elak terlalu memikirkan tekanan untuk menghadapi kesemua perlawanan terbabit

"Saya harap pemain usah terlalu melihat jumlah perlawanan, sebaliknya perlu fokus dan memberi tumpuan perancangan hanya pada satu perlawanan setiap kali beraksi.

"Jika melihat keseluruhan jadual, mungkin pemain akan berasa tertekan dari aspek psikologi apabila hendak beraksi nanti. Jadi, elakkan tekanan seumpama itu dan cuma fokus pada setiap satu perlawanan," katanya.

Aidil juga berkata KDA FC hanya memiliki ruang terhad dari segi penggantian pemain jika memerlukan pertukaran akibat kecederaan atau penggantungan keranan tidak mempunyai pilihan melibatkan pasukan kedua yang membolehkan penggantian dilakukan lebih mudah.

"Kita tidak seperti pasukan besar lain seperti JDT FC, Selangor FC dan Terengganu FC yang memiliki pasukan kedua termasuk pemain import yang boleh digantikan jika terdapat pemain utama yang mengalami kecederaan.

"Kita berpijak di bumi yang nyata dengan memanfaatkan apa kita ada, dan setiap perancangan terbaik harus dilakukan lebih berhati-hati bagi memastikan perjalanan perlawanan berjalan lancar mengikut perancangan.''

Skuad KDA FC kembali fokus menjalani latihan sejak 4 Ogos lalu bagi melakukan persiapan menghadapi aksi sambungan saingan Liga Super selepas menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sejak 21 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:41 PM