PENANG FC cipta kejutan musim ini.
PENANG FC cipta kejutan musim ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perebutan satu tiket ke Piala AFC musim depan tampak menarik apabila ia akan direbut pada hari terakhir saingan Liga Super musim ini membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Penang FC dan Terengganu FC.

Berbanding senario musim sebelum ini, edisi kali ini dilihat sengit terutama bagi merebut kedudukan selaku naib juara liga selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan lebih awal minggu lalu.

Meskipun ia hanya perebutan di tangga kedua, persaingan buat tiga pasukan yang berpeluang menamatkan kempen di belakang JDT amat mendebarkan dengan masing-masing mahu memburu slot ke Piala AFC.

KDA dan Penang berkongsi 40 mata, namun skuad Aidil Sharin Sahak memiliki jumlah jaringan lebih banyak, sementara Terengganu pula hanya ketinggalan tiga mata di belakang dua pasukan dari utara tanah air itu.

Berdasarkan jadual aksi terakhir, Penang dan Terengganu akan bertemu sesama sendiri di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, manakala KDA akan menanti kunjungan Melaka United di Alor Setar, dengan semua aksi terakhir liga itu berlangsung serentak Ahad ini.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau melihat skuad Harimau Kumbang dan skuad Helang Merah memiliki peluang lebih cerah dalam aksi itu berikutan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, Wan Jamak memilih KDA untuk menang ke atas Melaka sekali gus meraih tiket ke Piala AFC buat menghampakan dua lagi pesaing terdekat itu.

"80 peratus saya rasa Kedah akan menang dengan Melaka. Kedah menang 1-0 pun akan jadi naib juara kerana momentum mereka ketika ini pada landasan tepat, walaupun beberapa keputusan dalam dua aksi sebelum ini tidak memuaskan.

"Penang pula saya lihat pasukan 'under dog' yang tiba-tiba buat kejutan tanpa disangka-sangka. Mereka boleh menang ke atas Terengganu nanti kerana, satu kelebihan tempat sendiri dan keduanya 'mood' pasukan cukup tinggi, dan ketiga mereka ini 'nothing to lose'.

"Sebab apa, kejayaan berada pada kelompok tiga teratas ini dah kira pencapaian luar biasa Penang dan itu dah dianggap 'juara' di hati peminat mereka. Tapi kalau mereka dapat pergi Piala AFC, itu dah satu bonus.

"Buat Terengganu pula, mereka pasukan yang mengamalkan permainan cukup baik sekali. Tapi disebabkan beberapa keputusan yang dikehendaki mereka tak dapat, jadi itu merugikan mereka. Saya rasa, Penang akan menang nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 11:00 PM