UNDIAN suku akhir Piala FA musim ini. FOTO FB MFL
UNDIAN suku akhir Piala FA musim ini. FOTO FB MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Melaka United perlu bekerja keras di peringkat suku akhir Piala FA apabila diundi berdepan juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, Melaka United akan memiliki sedikit kelebihan apabila aksi itu di gelanggang mereka dengan tarikh perlawanan bakal diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Melaka United dan JDT baru sahaja berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu yang menyaksikan skuad Hang Tuah berjaya mengikat Harimau Selatan 1-1.

Pencapaian terbaik JDT di pentas Piala FA adalah muncul juara pada 2016, sementara Melaka United pula belum pernah memenangi trofi itu dengan pencapaian terbaik mereka layak ke suku akhir pada 2018.

Dua pasukan terbawah Liga Super, Sri Pahang dan Penang pula boleh dianggap lawan sepadan apabila kedua-dua akan berentap dalam satu lagi aksi suku akhir Piala FA.

Sri Pahang yang pernah menjulang Piala FA sebanyak tiga kali pada 2006, 2014 dan 2018 akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan kalah mati itu.

Sementara itu, baki dua lagi aksi suku akhir akan menemukan pemenang perlawanan pusingan kedua antara Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan pasukan Kuching City, manakala Sabah FC menanti pemenang aksi Selangor FC dan KL City.

TFC akan berdepan KDA FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu ini untuk merebut slot suku akhir manakala Selangor pula menanti kunjungan KL City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:43 PM