Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) tetap akan bersambung mengikut jadual walaupun kes pandemik Covid-19 masih lagi tinggi, namun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa meminda tarikh beberapa perlawanan berikutan faktor yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kempen Liga Perdana akan bermula 3 Julai depan manakala tirai Liga Super pula kembali bersambung pada 24 Julai kelak.

Beliau berkata, pindaan jadual terpaksa dilakukan berikutan Johor Darul Ta'zim (JDT) bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) manakala Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) bersaing dalam kempen Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air.

"JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki menjalani kuarantin selepas pulang ke tanah air.

"Sementara KDA dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka menjalani prosedur kuarantin sama, namun sehingga kini AFC masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu bagi kejohanan berkenaan.

"Pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara faktor jadual Liga Super dan Liga Perdana dipinda," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani melahirkan kegusaran jadual masih akan dipinda sekiranya AFC membuat keputusan untuk meminda jadual Piala AFC 2021 ke tarikh berlainan daripada jadual asal.

"Merujuk kepada kenyataan AFC bertarikh 27 Mei lalu, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menarik diri sebagai hos Piala AFC akibat peningkatan penularan Covid-19 di negara berkenaan dan MFL dimaklumkan bahawa badan induk bola sepak Asia itu akan memberitahu venue baharu kelak.

"Sekiranya pihak AFC membuat keputusan untuk meminda jadual Piala AFC yang membabitkan pasukan KDA dan TFC ke tarikh serta bulan berlainan dari jadual asal, ia dilihat akan memberi impak kepada penjadualan Liga M dan Piala Malaysia 2021.

"AFC melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor John memberitahu pihaknya masih berusaha mencari penganjur baharu saingan Piala AFC. Ini kerana tiada negara mahu menganjurkan kejohanan itu disebabkan kes pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kedua-dua perlawanan tertunda akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh Perak pada 29 Jun manakala Selangor 2 menentang Sarawak United bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:00 AM