ANTARA aksi skuad negara bertemu Myanmar. FOTO AFF
ANTARA aksi skuad negara bertemu Myanmar. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi mempertahankan mahkota Kejuaraan AFF Bawah 16 (B-16) sedikit berliku selepas skuad negara sekadar seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi kedua di Stadium Maguwoharjo, Sleman di Indonesia, malam tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro tiada pilihan lain apabila wajib memburu kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan C bertemu Australia, Isnin ini.

Pungutan tiga mata ke atas Australia bakal mencerahkan peluang untuk menamatkan saingan kumpulan di tangga pertama.

Untuk format pertandingan kali ini, hanya juara daripada tiga kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati, dengan satu lagi slot diberikan kepada naib juara terbaik.

Ketika ini, Malaysia masih kekal selaku pendahulu kumpulan untuk mengumpul empat mata bersama Myanmar, namun kelebihan gol berpihak kepada kem negara.

Dalam aksi kedua itu, skuad negara mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Dainei Mat Disa dan gol itu nyata menyuntik semangat pemain untuk memburu gol tambahan.

Namun begitu, Myanmar kental bertahan dan dilihat memilih untuk menyerap asakan pemain negara di babak pertama.

Begitupun, aksi lebih kemas ditampilkan lawan di separuh masa kedua dan hasilnya Kaung Khant Zaw meledak dengan gol penyamaan di minit ke-50.

Biarpun skuad muda negara cuba menjarakkan kedudukan, namun keputusan itu kekal hingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Pada edisi 2019 lalu, Malaysia muncul juara selepas menundukkan Thailand di perlawanan akhir dengan 2-1 yang berlangsung di Chonburi, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 10:24 PM