SKUAD B-19 menewaskan Myanmar pada masa kedeceraan. FOTO/FAIL
SKUAD B-19 menewaskan Myanmar pada masa kedeceraan. FOTO/FAIL
Mohd Fitrie Muhamad

SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara melakar sejarah baharu bola sepak Malaysia apabila muncul juara Kejuaraan AFF B-19 selepas menundukkan Myanmar 4-3 pada final di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, malam ini.

Pada aksi itu, pemain tengah negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua.

Kejayaan menjulang kejuaraan ini buat kali pertama sekali gus mengubat kekecewaan tewas kepada Thailand pada final tahun lalu.

“Kemenangan buat kali pertama ini begitu bermakna dan saya harap ia akan jadi permulaan kepada pasukan ini.

“Seperti yang saya beritahu, pemain berdepan keletihan apabila mengharungi jadual padat namun mereka tidak berputus asa,” kata pengendali negara, Bojan Hodak.

Sebelum ini, Malaysia lima kali muncul naib juara, pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan tahun lalu.

Bagaimanapun, kejayaan itu diraih dengan cara sukar apabila membenarkan gawang negara dibolosi tiga kali dalam tempoh tujuh minit di separuh pertama.

Terdahulu, aura Sang Juara terserlah apabila membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi Awang Faiz Hazziq Awang Fathi diikuti gol kedua yang dihasilkan Nik Akif Syahiran, minit ke-18.

Bagaimanapun, selepas itu semuanya seakan tidak kena buat Malaysia apabila Myanmar meraih tiga gol menerusi Win Naing Tun pada minit ke-24 sebelum kapten mereka, Myat Kaung Khant menambah dua lagi gol, pada minit ke-26 dan 31.

Kembali dari bilik persalinan, Myanmar tampil lebih berdisiplin mengekang setiap gerakan yang cuba diatur pasukan negara dan mereka lebih tertumpu kepada serangan balas.

Ketika aksi dijangka berlanjutan ke masa tambahan namun pada minit ke-92, Nik Akif Syahiran muncul tepat pada masanya apabila sepakan percumanya terus menerjah gawang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 10:58 PM