BARISAN pemain skuad bola sepak negara ke AUG 2022.
BARISAN pemain skuad bola sepak negara ke AUG 2022.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Perjalanan hebat kontinjen negara pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di bumi Thailand akan berakhir dengan penuh gemilang sekiranya mampu menjuarai acara bola sepak.

Apa tidaknya, Thailand tidak pernah gagal memenangi pingat emas bola sepak AUG, manakala Malaysia pula kali terakhir layak ke final ketika edisi 2008 di Kuala Lumpur.

Oleh itu, pertembungan menentang skuad Gajah Perang itu di pentas akhir di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, Jumaat ini mampu mengukir sejarah baharu landskap bola sepak negara di peringkat universiti.

Ketua jurulatih bola sepak AUG, Ridzuan Abu Shah sudah merangka strategi awal untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas terikat 2-2 dengan Thailand dalam aksi liga sepusingan sebelum ini.

"Thailand sudah tahu cara kami bertahan dan menyerang. Jadi kami mungkin akan buat perubahan taktikal untuk memastikan mereka tidak boleh baca permainan kami.

"Ia bukan mudah kerana kita tahu Thailand adalah sebuah pasukan hebat. Mereka dapat bangkit untuk seri 2-2 walaupun kami mendahului dua gol sebelum ini.

"Jadi tempoh rehat yang ada sekarang akan dimanfaatkan sebaiknya supaya dapat menyediakan pasukan ampuh dalam misi kita menjuarai perlawanan nanti," katanya.

Malaysia mara ke final selepas menduduki tangga kedua dalam carta liga sepusingan menerusi kemenangan 2-1 ke atas Myanmar, seri 2-2 dengan Thailand sebelum tumpas 1-2 di tangan Laos, semalam.

Biarpun tewas aksi terakhir itu, peluang skuad negara tidak terjejas kerana memiliki jumlah perbezaan gol yang lebih bagus walaupun mengumpul empat mata sama dengan Laos di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 7:06 PM