KUALITI permainan dan prestasi pemain secara keseluruhannya juga layak menerima pujian walaupun kalah tipis 1-2 kepada juara bertahan, Thailand. FOTO Ihsan Sukipt
KUALITI permainan dan prestasi pemain secara keseluruhannya juga layak menerima pujian walaupun kalah tipis 1-2 kepada juara bertahan, Thailand. FOTO Ihsan Sukipt
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Pengendali skuad bola sepak negara Ridzuan Abu Shah mengakui inisiatif program 'Road to Final' daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mereka mampu melakar kejayaan pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022.

Idea yang dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen IPT Malaysia, Datuk Dr Pekan Ramli itu ternyata membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya meraih pingat perak buat kali pertama sejak edisi 2008 di Kuala Lumpur.

Kualiti permainan dan prestasi pemain secara keseluruhannya juga layak menerima pujian walaupun kalah tipis 1-2 kepada juara bertahan, Thailand pada aksi final di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat kelmarin.

"Saya berterima kasih kepada pemain yang hadir di sini adalah hampir semuanya dari kalangan pelajar universiti. Hanya ada satu, dua pemain senior (kelab Liga Malaysia).

"Kita kumpulkan mereka untuk (program) Road to Final untuk AUG ini. Alhamdulillah Road to Final tercapai.

"Kalau untuk kita dapatkan pingat emas, kita perlu lebih berusaha lagi. Kalau ada rezeki, mungkin 2024 (AUG Indonesia) kita boleh dapat pingat emas," katanya selepas tamat aksi final kelmarin.

Sementara itu, pemain Selangor 2, Saiful Iskandar Adna Saiful Azlan tidak dapat menahan sabak apabila gagal membantu pasukannya merealisasikan pingat emas.

Walaupun kecewa tetapi pemain sayap kanan itu tetap berbangga kerana dia dan rakan sepasukannya berjaya menamatkan penantian Malaysia ke final sejak 2008 sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar.

"Akhirnya penantian ke final tercapai. Kami berpuas hati walaupun tidak dapat memenangi emas tetapi kami gembira dengan pencapaian ini," katanya.

Dua gol Thailand dalam aksi itu dijaringkan oleh Chanmunti Kantinan pada minit ke-23 dan 45, manakala jaringan tunggal negara diperoleh menerusi Mohamad Syahir Abdul Rahman pada minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 3:07 PM