SUASANA pembukaan rasmi AUG di Ubon Ratchathani.
SUASANA pembukaan rasmi AUG di Ubon Ratchathani.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Sukan Universiti Asean (AUG) membuka tirai secara rasminya pada hari ini dengan penyertaan lebih 1,500 peserta membabitkan 11 negara di rantau ini.

Penganjuran yang berpusat di negeri keempat terbesar di Thailand itu menyaksikan 228 pingat ditawarkan membabitkan 30 acara.

Pada acara pembukaan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, menyaksikan kapten pasukan bola sepak negara yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Aliff Najmi Shaani dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada petang tadi.

Penyertaan Malaysia kali ini membawa harapan besar dengan meletakkan sasaran membawa pulang 35 pingat emas sekali gus mengulangi pencapaian sama yang dilakukan pada edisi 2018 di Myanmar.

Mengikut rekod, walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya terpaksa ditangguhkan pada 2020 berikutan pandemik Covid 19 namun Thailand akhirnya menawarkan diri pada saat akhir bagi menganjurkan temasya dwi tahunan itu.

Pada kali ini, Malaysia yang dilihat antara kuasa besar sukan universiti Asean mempertaruhkan 275 atlet bagi menggalas cabaran mengharumkan nama negara di pentas AUG.

Setakat tiga hari temasya terbabit berlangsung menyaksikan Malaysia meraih pencapaian positif apabila sudah membawa pulang 16 emas 22 perak dan 12 gangsa. Temasya berkenaan diadakan selama 11 hari dengan acara terakhir bakal berlangsung pada 6 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 8:50 PM