KALVIN Phillips menyertai Manchester City dengan kontrak selama enam tahun. FOTO Agensi
KALVIN Phillips menyertai Manchester City dengan kontrak selama enam tahun. FOTO Agensi
Reuters

London: Manchester City menandatangani pemain tengah England, Kalvin Phillips dari Leeds United dengan kontrak enam tahun, umum juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Maklumat lanjut kewangan mengenai perjanjian itu tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan pemain berusia 26 tahun itu menandatangani rundingan bernilai £45 juta (RM241.39) serta nilai tambahan.

"City sekali lagi membuktika reputasi sebagai pasukan terbaik di negara ini dengan skuad menakjubkan bersama pengurus, Pep Guardiola yang boleh dianggap terbaik di dunia," kata Phillips dalam satu kenyataan.

"Dapat bermain dan belajar dengan Pep serta staf kejurulatihan dan menjadi sebahagian daripada skuad hebat ini adalah prospek yang membuatkan saya teruja dan amat menantikannya."

Phillips menyertai akademi Leeds ketika berusia 14 tahun dan membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada musim 2014-15.

Dia bermain lebih 200 perlawanan untuk Leeds dan menjaringkan 14 gol.

Pemain tengah itu memperoleh 23 cap bersama England sejak membuat penampilan sulung pada 2020 dan beraksi di Kejohanan Eropah (Euro) 2020 tahun lalu, apabila anak buah Gareth Southgate tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Itali di final.

Dia adalah pemain ketiga ditandatangani City dalam sesi tertutup selepas kehadiran penyerang berbisa, Erling Haaland dan penjaga gol, Stefan Ortega.

Phillips akan menguatkan jentera tengah City selepas pemergian Fernandinho, dan Guardiola mahu meletakkan pemain penting untuk mengekalkan gelaran liga dan terus melangkah dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

City akan menentang juara Piala FA, Liverpool pada aksi Perisai Komuniti pada 30 Julai ini, sebelum memulakan kempen mempertahankan gelaran menentang West Ham United pada 7 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 10:28 PM