KALVIN Phillips. -FOTO Agensi
KALVIN Phillips. -FOTO Agensi
Agensi

Manchester: Pemain tengah England, Kalvin Phillips menyempurnakan perpindahan untuk bersama kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada harga 45 juta pound (RM240.52 juta) dari Leeds United.

Phillips yang menandatangani kontrak enam tahun untuk bersama skuad kendalian Pep Guardiola dengan pemain itu berkata dia sangat gembira dapat menyertai Manchester City.

Guardiola memilih Phillips untuk memperkuat barisan tengahnya selepas pemain Brazil Fernandinho meninggalkan kelab pada akhir musim lalu.

City memulakan rundingan untuk mendapatkan Phillips sejak Jun dan kini ia dapat disempurnakan.

Phillips yang bermula sebagai pemain remaja di Leeds, menyertai City selepas melakukan 235 penampilan untuk kelab dari kampung halamannya sepanjang lapan musim lalu.

"City sekali lagi membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di negara ini dengan skuad serta pengendali yang hebat - Pep Guardiola yang dianggap terbaik di dunia.

"Dapat bermain di bawah Pep dan belajar daripadanya adalah sesuatu yang amat saya nanti-nantikan.

"City adalah kelab kelas dunia dengan kakitangan serta kemudahan yang terbaik. Impian saya menjadi kenyataan dengan menyertai kelab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 11:57 AM