PHILLIPS tekad mahu tersenarai dalam skuad akhir England.
PHILLIPS tekad mahu tersenarai dalam skuad akhir England.
Reuters

London: Pemain tengah Manchester City Kalvin Phillips menyertai West Ham secara pinjaman sehingga penghujung musim ini, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Butiran lanjut tidak didedahkan kedua-dua kelab tetapi media British melaporkan tiada klausa pilihan belian disertakan untuk pemain berusia 28 tahun itu yang masih berbaki empat tahun dalam kontraknya bersama City.

"Saya sangat bangga berada di sini," kata Phillips. "Banyak spekulasi mengenai saya berpindah ke West Ham, jadi saya benar-benar gembira ia menjadi kenyataan."

Pemain antarabangsa England itu menyertai City dari Leeds United pada penghujung musim 2022 dengan harga sekitar 45 juta pound (RM270 juta) tetapi terpaksa diketepikan akibat kecederaan bahu.

Phillips terus tersisih susulan kritikan pengurus Pep Guardiola yang mendakwa berat badan pemain itu bertambah selepas pulang daripada kempen Piala Dunia. Dia hanya beraksi empat kali dalam saingan liga sebagai pemain gantian.

Pemain tengah itu mahu tersenarai dalam skuad England pada Euro yang berlangsung lima bulan lagi dan beraksi lebih kerap di West Ham mampu menarik perhatian pengurus Gareth Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 6:51 PM