AIDIL (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemain KDA FC untuk memburu kemenangan sulung dalam kempen Piala AFC. FOTO FB KDA FC
AIDIL (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemain KDA FC untuk memburu kemenangan sulung dalam kempen Piala AFC. FOTO FB KDA FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak tidak mahu memandang rendah kemampuan pasukan Filipina, Kaya FC dalam aksi kedua Kumpulan G, Piala AFC 2022, malam esok.

Ini kerana, pasukan terbabit memiliki barisan pemain berpengalaman terutama awang import mereka yang cukup berbisa merobek kubu lawan.

Aidil berkata, Kaya FC yang diperkuatkan Jovin Bedic, Daizo Horikoshi dan Robert Lopez Mendy sudah pastinya memberi ancaman kepada KDA FC dalam usaha memungut tiga mata penting kelak.

Katanya, barisan kejurulatihan sudah membuat 'kerja rumah' berkaitan pasukan terbabit dan akan memastikan mereka tidak menjadi duri dalam daging kepada KDA FC.

"Saya sudah melihat corak permainan ditampilkan Kaya FC dan boleh dikatakan bukan lawan mudah untuk KDA FC.

"Saya mahu pemain berjuang habis-habisan untuk pastikan keputusan memihak kepada kami kerana tiga mata penting untuk mencerahkan peluang melangkah ke pusingan seterusnya.

"Paling penting pemain mesti bijak mengambil peluang terhidang untuk menjaringkan gol, sekali gus memenangi perlawanan," katanya.

Terdahulu, hasrat KDA FC untuk menyingkap saingan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan keputusan positif tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Jumaat lalu.

Ia menyaksikan Bali United kini mengungguli Kumpulan G dengan tiga mata sambil diekori rapat kelab Kemboja, Visakha FC yang menewaskan wakil Filipina, Kaya FC 2-1 pada perlawanan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 5:33 PM