AIDIL (tengah) memberi arahan kepada pemain KDA FC ketika menang 4-1 ke atas Kaya FC, Isnin lalu. FOTO FB KDA FC
AIDIL (tengah) memberi arahan kepada pemain KDA FC ketika menang 4-1 ke atas Kaya FC, Isnin lalu. FOTO FB KDA FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menuntut pemainnya turun dengan mentaliti kemenangan apabila menentang Visakha FC pada aksi terakhir Kumpulan G kempen Piala AFC di Bali, Indonesia, malam esok.

Menurutnya, kemenangan 4-1 ke atas kelab Filipina, Kaya FC dalam aksi kedua, Isnin lalu melonjakkan motivasi anak buahnya menjelang pertemuan menentang kelab dari Kemboja itu.

"Satu motivasi adalah peluang untuk itu (layak ke peringkat seterusnya) masih terbuka, itu paling penting dan satu motivasi apabila kami turun dengan mentaliti kemenangan, malam esok.

"Saya tak tahu apa pemikiran Visakha kerana mereka sudah selesa selepas menang dua aksi, mungkin esok mereka akan turun dengan mentaliti keselesaan.

"Jadi paling penting untuk saya dan pemain, kami harus turun dengan mentaliti kemenangan dan wajib mendapatkan tiga mata untuk esok," katanya pada sidang media pra-perlawanan hari ini.

Ketika ini, Visakha memimpin carta kumpulan G selepas menang dua aksi dengan mengumpul enam mata sementara KDA FC mengumpul tiga mata susulan kemenangan ke atas Kaya FC dan sebelum itu tewas 0-2 kepada Bali United (dari Indonesia).

Jelas jurulatih dari Singapura itu, semua pemainnya bebas daripada kecederaan dan mereka akan turun dengan skuad terkuat, malam esok.

"Saya rasa persediaan kami ringkas kerana sudah beraksi dua perlawanan dan mengadakan sesi pemulihan yang baik, dan tiada sebarang kecederaan selepas dua aksi biarpun mengharungi jadual agak ketat.

"Tapi saya fikir hari ini kami ada lagi sesi latihan untuk persediaan esok dan pemain sudah tidak sabar turun dan bersedia dengan motivasi cukup tinggi selepas kemenangan ke atas Kaya FC yang sememangnya bukan mudah.

"Kami tahu Visakha sebuah pasukan dan menang dua aksi sebelum ini, tapi dalam bola sepak kita kena yakin dan aksi bermula dengan kedudukan 0-0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 6:13 PM