MUHAMMAD Qayyim diapit oleh kedua ibu dan bapanya ketika ditemubual di hotel penginapannya di Makkah. FOTO Husain Jahit
MUHAMMAD Qayyim diapit oleh kedua ibu dan bapanya ketika ditemubual di hotel penginapannya di Makkah. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Juara qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2023, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi bersyukur kerana impiannya hendak menunaikan haji sejak kecil akhirnya tercapai apabila dapat menjadi Duyufurrahman pada tahun ini.

Muhammad Qayyim, 26, yang mengalami masalah penglihatan sejak dilahirkan berkata, apabila mendapat tahu tawaran menunaikan haji, beliau merasa sangat gembira dan teruja sehingga saban hari berdoa supaya detik berangkat ke Tanah Suci dipercepatkan.

"Hari saya nak datang ke Makkah ini adalah hari peperiksaan akhir, tetapi disebabkan terlalu teruja, saya sudah tidak memikirkan mengenai peperiksaan terakhir yang saya duduki dan berdoa ia cepat berakhir supaya dapat berangkat menunaikan haji," katanya ketika ditemui Petugas Media Tabung Haji (TH) di hotel penginapannya di Makkah.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dan Pengurusan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan itu berangkat ke Tanah Suci dengan ditemani ayah, Sarimi Yusof, 59 dan ibunya, Rozan Mohamed, 51.

Muhammad Qayyim yang pernah menjadi juara qari empat kali peringkat negeri Kelantan 2012, 2017, 2020 dan 2023 serta kebangsaan pada 2023 berkata, semasa kecil, beliau berminat mendengar siaran langsung di TV Makkah (Masjidilharam) dan Madinah (Masjid Nabawi).

Dari situ, minatnya makin mendalam terhadap al-Quran dan tarannum hingga menjadikan beliau berjaya menguasai tujuh jenis lagu iaitu Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah, sejak berumur sembilan tahun.

Anak sulung dari enam beradik itu terus menanam cita-cita untuk menjejakkan di Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Mengenai kewajiban menunaikan haji, beliau yakin tidak ada masalah untuk dia melakukan semua proses-proses haji ini.

"Kalau ada cabaran pun mungkin adalah pada masa melontar jamrah sebab saya tidak tahu tempat, mungkin jauh..., saya cuma takut tersalah lempar, tetapi Tawaf sa'ie mungkin takde masalah insya-Allah," katanya yang gemar membuat kaji selidik terlebih dahulu mengenai tempat-tempat yang akan dikunjungi.

Sementara itu, Sarimi berkata, memang sejak kecil lagi beliau membuka akaun Tabung Haji untuk anak sulungnya serta lima lagi anaknya yang lain.

"Kami memang membuat tabungan untuknya sejak kecil termasuk wang yang dimenangi dalam pertandingan-pertandingan musabaqah dan infaq," katanya yang yakin anaknya mampu menunaikan ibadah haji ini dengan baik berdasarkan pengalaman menunaikan umrah sebanyak dua kali sebelum ini.

Menurut Rozan pula, beliau tidak berasa susah membesarkan Muhammad Qayyim kerana anak itu sangat berdikari.

"Saya berharap tapi tidak memaksa agar adik-adiknya akan mengikut jejak Qayyim dan setakat hanya seorang yang menunjukkan kecenderungan iaitu adik perempuan yang berumur 13 tahun," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:36 AM