Pemain KDA FC menjalani latihan. FOTO Ihsan KDA FC
Pemain KDA FC menjalani latihan. FOTO Ihsan KDA FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehebatan Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal teruji di pentas antarabangsa apabila berdepan dengan pasukan berstatus 'juara' dalam saingan Kumpulan G Piala AFC 2022.

Dalam undian sebentar tadi, naib juara Liga Super itu akan bertemu dengan juara piala domestik Liga Filipina, Kaya FC Iloilo serta juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United.

Satu lagi pasukan yang akan menunggu anak buah Aidil Sharin Sahak adalah pemenang perlawanan 'play-off' untuk melengkapkan saingan dalam Kumpulan G.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan keempat buat skuad Lang Merah di pentas Piala AFC dan mereka turut layak bersaing pada musim 2021 namun saingan bagi kumpulan mereka dibatalkan susulan Covid-19.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, KL City FC yang turut menempah tiket dalam saingan Piala AFC pada musim ini diundi dalam Kumpulan H bersama wakil Myanmar, Shan Utd ataupun Ayeyawady United serta pasukan dari Liga Singapura, Tampines Rovers.

Selain itu, mereka juga akan berentap bersama juara Piala Indonesia 2018-19, PSM Makassar dalam Kumpulan H.

Juara bertahan yang memenangi Piala AFC buat kali kedua musim lalu dari Bahrain, Al-Muharraq kempunan untuk mempertahankan kejuaraan mereka selepas gagal memperolehi lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 6:09 PM