SANRAWAT turun kali pertama bersama KDA FC ketika menentang Perak FC di Stadium Darul Aman pada 10 Jun lalu. -FOTO FB KDA FC
SANRAWAT turun kali pertama bersama KDA FC ketika menentang Perak FC di Stadium Darul Aman pada 10 Jun lalu. -FOTO FB KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak yakin pemain import baharu kuota Asean Sanrawat Dechmitr mendapat keserasian terbaiknya bersama pasukan bagi menghadapi saingan Piala AFC yang akan bermula pada 24 Jun ini.

Bagi pengendali dari Singapura ini, kelebihan yang dimiliki oleh pemain kelahiran Thailand itu membantunya menyerapkan segala taktikal dan perancangan pasukan dengan lebih cepat.

"Berdasarkan pengalaman, dia dilihat cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dan cukup bersemangat bersama pasukan.

"Sejak bersama pasukan pada aksi pertama ketika perlawanan persahabatan menentang Perak FC dan melalui beberapa latihan dalaman sebelum ini, saya yakin dia kini terus meningkatkan keserasian terbaiknya bersama rakan sepasukan.

"Dalam perlawanan latihan dalaman baru-baru ini juga, dia mempamerkan aksi cukup bersemangat apabila menghasilkan satu gol dan membantu dua gol ketika pasukan berdepan skuad Piala Presiden Kedah," katanya.

Dalam tempoh seminggu lagi untuk menghadapi saingan Piala AFC di Bali Indonesia, Aidil juga berkata skuadnya kini berada dalam motivasi yang terbaik bagi menghadapi kelab berstatus juara Liga 1 Indonesia, Bali United FC.

"Kita sedang mempersiapkan pasukan pada tahap yang terbaik bagi menghadapi kejohanan yang dijangka sengit dengan perlawanan pertama menentang Bali United FC pada 24 Jun nanti.

"Berkaitan kekosongan kuota pemain import Asia yang sedang dinantikan, saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat pengumuman nama pemain tersebut dalam masa terdekat.

"Saya berharap semua pemain KDA FC yang sedang melakukan persiapan kini cukup bersedia dan dapat teruskan fokus terbaik mereka bagi menghadapi saingan peringkat tertinggi kali ini," katanya.

Kedah dijadual berdepan kelab dari Indonesia Bali United pada 24 Jun, diikuti Kaya FC dan Visakha FC masing-masing pada 27 dan 30 Jun dimana semua perlawanan Kumpulan G berkenaan akan berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 1:46 PM