RIZAL Nainy. FOTO Arkib NSTP
RIZAL Nainy. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan enam syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disenarai awam menerusi Pasaran LEAP menjelang 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan kerjasama SME Corp dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan pasaran modal bagi PMKS.

"Kami memastikan 500 PMKS bersedia supaya kami boleh membangunkan matlamat pasaran serta mengumpul data daripada mereka. Kami menjangkakan 200 daripadanya bersedia menjelang 2026.

"Matlamat utama adalah supaya mereka disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2026," katanya selepas pelancaran Pelan hala tuju Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028), semalam.

SME Corp menandatangani memorandum persefahaman selama tiga tahun bersama SC pada September 2023 untuk kerjasama dalam menyediakan saluran PMKS yang bersedia memasuki pasaran modal, serta meningkatkan kesedaran, kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat mereka.

"Dengan itu, kita berkolaborasi dengan SC mengadakan beberapa kapasiti program dalam pasaran modal. Begitu juga dengan persediaan mereka dalam perniagaan dan amalan kelestarian," katanya.

Mengulas mengenai pelan hala tuju dilancarkan semalam, Rizal berkata, PMKS berpeluang meningkatkan pengetahuan atau ilmu mengenai pasaran modal dan ia penting bagi memperkasakan mereka melalui penyelesaian pasaran modal.

Pelan hala tuju itu menyediakan pelan tindakan lima tahun dengan strategi silang dalam mentransformasikan pasaran modal untuk meningkatkan akses kepada PMKS (termasuk syarikat pemula niaga) dan MTC (syarikat peringkat pertengahan).

Melalui pelan itu, SC menyasar mengembangkan pengumpulan dana dalam pasaran modal PMKS dan MTC sebanyak tujuh kali ganda kepada RM40 bilion menjelang 2028.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:31 AM