ANTARA aksi Kedah bertemu Bali United. FOTO KDA FC
ANTARA aksi Kedah bertemu Bali United. FOTO KDA FC
Zulfaizan Mansor


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) membuka saingan Kumpulan G kempen Piala AFC dengan langkah kiri apabila tewas 0-2 di tangan Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, sebentar tadi.

Selepas bertahan dengan baik, pintu gol KDA akhirnya bocor pada masa kecederaan babak pertama dan malangnya ia hasil jaringan sendiri Ronald Ngah.

KDA berusaha untuk mendapat gol penyamaan dengan melakukan beberapa serangan ke kubu lawan, namun tidak berjaya disudahkan dengan jaringan.

Sebaliknya, Bali United berjaya mengukuhkan kedudukan pada minit ke-82 hasil jaringan Muhammad Rahmat yang menyudahkan hantaran Privat Mbarga.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.

Visakha yang turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 pada aksi sebelah petang berada di kedudukan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 11:15 PM