PEMAIN tengah Terengganu FC, Manuel Ott (kanan) tekad peragakan aksi terbaik menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok. FOTO ihsan TFC
PEMAIN tengah Terengganu FC, Manuel Ott (kanan) tekad peragakan aksi terbaik menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas memperagakan aksi cemerlang ketika membantu Terengganu FC (TFC) merakam kemenangan 2-0 ke atas Sarawak United FC, Ahad lalu, arkitek skuad itu, Manuel Ott tekad mahu mengulangi pencapaian sama apabila bertemu Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman itu menjelaskan aksi pertama di laman sendiri pastinya mahu disudahkan dengan tiga mata bagi mengintai kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super.

Malah pemain berusia 30 tahun itu tanpa berselindung mahu tampil lebih agresif selain akui tidak tertekan selepas merakam kemenangan pertama Ahad lalu.

"Kejayaan menewaskan Sarawak United meningkatkan lagi moral kami selain meredakan tekanan selepas tumpas dalam dua aksi awal berdepan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-0 dan Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-1.

"Saya harap beraksi di tempat sendiri buat kali pertama musim ini ditambah sokongan padu peminat setia mampu menghadiahkan tiga mata lagi buat kami.

"Saya percaya perkara ini mampu direalisasikan dan yakin dengan potensi semua pemain, malah saya sendiri tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri dengan laungan sokongan peminat," ujarnya ketika ditemui.

Bagaimanapun, bekas pemain tengah Melaka United FC (MU FC) itu mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin walaupun rekod tiga perlawanan musim lalu memihak kepada pasukannya.

Katanya, dalam bola sepak, apa saja boleh terjadi dan berubah walaupun hanya seminit saja kelekaan.

TFC yang dijangka bakal menurunkan Kipre Tchetche atau Jordan Mintah selaku penggempur utama selepas Kpah Sherman digantung perlawanan akibat kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 8:40 PM