NOR Hakim bakal menambah lagi semangatnya untuk memburu gol seterusnya berdepan PDRM FC Ahad depan. FOTO Ihsan TFC
NOR Hakim bakal menambah lagi semangatnya untuk memburu gol seterusnya berdepan PDRM FC Ahad depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Nor Hakim Hassan akui tidak menduga dapat menjaringkan gol pada penampilan pertamanya bersama pasukan baharunya itu.

Membuatkan dia lebih teruja, apabila jaringan itu adalah gol pertamanya pada musim ini selepas gagal melakukannya ketika beraksi bersama pasukan Selangor FC.

Jelas pemain berusia 32 tahun itu yang menyertai skuad Penyu pada jendela kedua perpindahan pemain bermula 5 Julai lalu, gol berkenaan bakal menambah lagi semangatnya untuk memburu gol seterusnya berdepan PDRM FC Ahad depan.

Pada aksi ke-16 Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat lalu yang berakhir dengan keputusan 3-3, pemain sayap itu menjaringkan gol kedua pasukannya babak kedua.

"Ini rezeki saya selepas dapat menjaringkan gol pertama pada penampilan sulung bersama Terengganu selepas sekian lama tidak beraksi.

"Lebih menggembirakan saya apabila gol itu adalah yang pertama pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, ketika bersama Selangor FC, saya tidak menjaringkan gol, cuma ada tiga hantaran gol sahaja.

"Ini permulaan baik lebih-lebih lagi saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan selepas hampir sebulan menjalani latihan.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi dapat memberikan aksi lebih baik berdepan PDRM FC minggu depan, jika ada rezeki saya mahu menjaringkan gol lagi untuk membantu pasukan merakam kemenangan selepas sekadar seri pada aksi pertama saya bersama TFC," kata pemain yang juga mampu beraksi di posisi serangan.

Berdasarkan rekod, bekas pemain kebangsaan itu sudah meledak 25 jaringan sepanjang kariernya bermula dengan pasukan PKNS, T-Team, Terengganu, Perak dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 10:34 AM