OTT (kiri) berharap TFC tidak beraksi dengan 10 pemain buat kali ketiga berturut-turut. FOTO GHAZALI KORI
OTT (kiri) berharap TFC tidak beraksi dengan 10 pemain buat kali ketiga berturut-turut. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah berpengaruh Terengganu FC (TFC), Manuel Ott menegaskan dia tidak mahu mencipta hatrik beraksi dengan 10 pemain menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Sabtu ini.

Sebaliknya pemain kebangsaan Filipina itu meletakkan harapan tinggi agar peristiwa rakan sepasukannya diperintah keluar padang tidak lagi berulang pada perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia itu.

Pemain kelahiran Jerman itu turut menuntut rakan sepasukannya agar lebih berhati-hati dengan taktikal skuad kendalian Bojan Hodak yang pasti hadir dengan strategi berbeza untuk mempertahankan gelaran juara trofi berprestij itu.

Bagaimanapun, Ott menjelaskan kemenangan dalam 12 perlawanan berturut-turut menambah lagi keyakinannya dan rakan sepasukan untuk menumpaskan skuad The City Boys, sekali gus mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Pada aksi pusingan 16 pasukan di Kuala Terengganu 1 November lalu, pertahanan tengah, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang Sri Pahang FC, Steven Rodriguez, sekali gus memaksa TFC beraksi dengan 10 pemain.

Skrip sama berulang lagi pada aksi suku akhir pertama Ahad lalu yang menyaksikan skuad Penyu terpaksa 'mandi peluh' hampir setengah jam selepas penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang, Romel Morales.

"Pada dua aksi terakhir, kami mengerah lebih tenaga berbanding biasa kerana beraksi dengan 10 pemain selepas rakan sepasukan dibuang padang.

"Jadi bagi aksi penting Sabtu ini, saya mengharapkan insiden serupa tidak lagi berulang, pesanan kepada diri dan rakan sepasukan agar lebih berhati-hati dalam sesuatu tindakan bagi mengelak dilayangkan kad merah.

"Saya berkeyakinan dengan semangat dan hubungan erat antara pemain bagaikan satu keluarga ditambah dengan sokongan padu peminat, kami mampu beraksi dengan baik dalam misi melangkah ke separuh akhir," katanya yang tidak mahu memikirkan mengenai rekod terdahulu ketika menentang pasukan itu.

Berdasarkan dua aksi Liga Super menentang KL City FC musim ini, TFFC menang 2-0 di laman sendiri dan 2-1 di tempat lawan, selain 1-0 pada aksi suku akhir pertama Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:51 PM