PERTAHANAN Terengganu FC, Pape Diakite tekad untuk 'merantai' pergerakan penyerang KL City FC. -FOTO Malik Muhamad
PERTAHANAN Terengganu FC, Pape Diakite tekad untuk 'merantai' pergerakan penyerang KL City FC. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Pape Diakite tekad untuk 'merantai' pergerakan penyerang juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Bek tengah skuad Penyu kelahiran Senegal itu berkata, dia berazam untuk mengulangi pencapaian cemerlang sebagai mana dua aksi terakhir ketika menentang Sarawak United FC dan Selangor FC sebelum skuadnya berehat panjang.

Pemain berusia 30 tahun itu menyatakan aksi antarabangsa menentang juara Liga Perdana Kemboja musim ini, Phnom Penh Crown FC dan kelab Singapura, Balestier Khalsa FC dalam aksi berintensiti tinggi minggu lalu adalah persediaan terbaik sebelum kembali bertarung dalam pentas liga terutama berdepan skuad The City Boys hujung minggu ini.

"Saya tidak mahu mendabik dada selepas kami berjaya merakam kemenangan ketika berdepan dengan dua kelab berkenaan dalam aksi persahabatan, tapi selalunya ia sedikit sukar untuk mendapatkan rentak apabila berlaku penundaan perlawanan.

"Bagaimanapun ianya perkara biasa, kami akan cuba mendapatkan momentum permainan semula walaupun memerlukan langkah demi langkah bagi memastikan pasukan kami terus bersaing hebat dalam kancah liga.

"Selain ingatkan diri, rakan sepasukan juga perlu positif, lagipun kami sudah membuat persiapan rapi sejak dua bulan lalu, harap kami segera 'bangkit dari tidur' untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Mengulas lanjut, pemain beragama Islam itu yang bakal bergandingan dengan Shahrul Nizam Ros Hasni, Mohd Arif Fadzilah Abu Bakar dan Muhammad Azam Azmi Murad di posisi pertahanan bagaimanapun akui bakal berdepan tugas sukar untuk mengekang trio import skuad kendalian Bojan Hodak itu yang pantas bertindak jika pemain alpa.

"Trio skuad lawan yang diketuai Kevin Koubemba, Romel Morales dan Paulo Josue begitu bahaya jika tidak dikawal, jadi saya nasihatkan diri dan rakan seposisi terutamanya dapat mengekang pergerakan mereka daripada bergerak bebas bagi mengelak kami "berputih mata' di tempat sendiri," katanya.

Berdasarkan empat perlawanan membabitkan skuad kendalian Nafuzi Zain musim ini, TFC tewas 0-3 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi pertama dan 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua sebelum merakam kemenangan 2-0 menumpaskan Sarawak United FC dan Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 1:55 PM