REAKSI Rice selepas menjaringkan gol West Ham.
REAKSI Rice selepas menjaringkan gol West Ham.
AFP

Lyon: West Ham United mara kali pertama ke separuh akhir kejohanan utama Eropah sejak 1976 selepas menewaskan Olympique Lyonnais 3-0 untuk kemenangan agregat 4-1 dalam aksi suku akhir Liga Europa awal pagi tadi.

Kelab London itu yang menjuarai Piala Pemenang Piala pada 1965 membuktikan kemampuan menerusi jaringan Craig Dawson, Declan Rice dan Jarrod Bowen bagi membolehkan mereka mengulangi aksi separuh akhir 1976 dengan menentang Eintracht Frankfurt yang menewaskan Barcelona.

Selepas seri 1-1 di tempat sendiri, West Ham lebih banyak bertahan pada awal permainan di Stadium Groupama sebelum mendahului Lyon 2-0 sebelum rehat.

Bowen menambah gol ketiga sejurus babak kedua bermula dan pasukan tuan rumah gagal bangkit selepas itu.

"Kami miliki barisan pemain yang sangat bagus, saya benar-benar bertuah," kata pengurus West Ham, David Moyes.

"Perjalanan ini dua tahun, kami bercakap mengenai penyingkiran dan kini kami bercakap mengenai separuh akhir kejohanan Eropah. Sangat hebat, malam ini detik paling bermakna bagi kami. Keputusan sangat bagus."

Lyon pula yang menduduki tangga ke-10 dalam carta Ligue 1 kini mengharapkan prestasi lebih baik dalam liga.

"Kami beraksi baik di London dan bermula bagus dengan beberapa peluang dicipta. Tetapi itulah bola sepak Eropah. Anda tewas, anda tersingkir," kata pengurus Lyon, Peter Bosz.

Suku akhir Liga Europa

Atalanta (ITA) 0 RB Leipzig (GER)

(Leipzig menang 3-1 secara agregat)

Barcelona (ESP) 2 Eintracht Frankfurt (GER) 3

(Eintracht menang 4-3 secara agregat)

Lyon (FRA) 0 West Ham United (ENG) 3

(West Ham menang 4-1 secara agregat)

Rangers (SCO) 3 Braga (POR) 1

(Rangers menang 3-2 secara agregat)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:16 AM