PEMAIN West Ham bersorak meraikan jaringan gol. FOTO fail REUTERS
PEMAIN West Ham bersorak meraikan jaringan gol. FOTO fail REUTERS
AFP

Paris: West Ham United dan Glasgow Rangers mesti bangkit mengatasi defisit satu gol menentang kelab Jerman pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Europa, awal pagi Jumaat, jika mahu melangkah ke final.

Eintracht Frankfurt bersedia melayan kunjungan West Ham selepas menang 2-1 pada separuh akhir pertama di London, minggu lalu menerusi jaringan pemain dipinjamkan dari Borussia Dortmund, Ansgar Knauff dan pemain tengah Jepun, Daichi Kamada.

Selepas menyingkirkan Barcelona di suku akhir, mereka mahu mara ke final kejohanan Eropah pertama sejak menewaskan Borussia Moenchengladbach untuk menang Piala UEFA pada 1980.

"Ini adalah perlawanan paling penting buat kami pada musim ini. Kami mahu melangkah ke final," kata pemain tengah Switzerland, Djibril Sow selepas Frankfurt tewas 0-2 di Bayer Leverkusen, pada perlawanan Bundesliga, Isnin lalu.

Mereka perlu sekali lagi mengatasi West Ham yang menyingkirkan Sevilla dan Lyon sebelum ini, selain menyasarkan final kejohanan Eropah pertama dalam tempoh 46 tahun sejak tewas kepada Anderlecht di final Piala Pemenang Piala pada 1976.

The Hammers mengharungi musim memberangsangkan, tetapi berdepan anti klimaks sekiranya gagal mengatasi Frankfurt kerana mereka tidak mampu menduduki tangga lebih baik berbanding tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris selepas hanya memperoleh satu mata daripada empat perlawanan.

Jika berjaya mara, West Ham akan menjadi kelab Inggeris ketujuh ke final Piala UEFA atau Liga Europa sejak 2000 dan masih berpeluang bertarung di final bersama satu lagi kelab Britain.

Rangers yang muncul naib juara Piala UEFA pada 2008, menanti kunjungan RB Leipzig di Ibrox untuk mengatasi defisit satu gol selepas tewas di Jerman menerusi jaringan lewat Angelino, minggu lalu.

Hasrat Leipzig mara ke Liga Juara-Juara Eropah secara automatik menerusi aksi Bundesliga masih tertangguh selepas dua kekalahan berturut-turut, tetapi satu pencapaian hebat bagi Rangers jika mereka menewaskan anak buah Domenico Tedesco.

Jika Leipzig dan Frankfurt mara ke final di Seville pada 18 Mei, ia adalah perlawanan akhir pertama dua kelab Jerman di peringkat Eropah selepas Bayern Munich menewaskan Dortmund di Stadium Wembley di Liga Juara-Juara Eropah 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 4:11 PM