TAVERNIER (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
TAVERNIER (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Glasgow: Kapten Rangers, James Tavernier menyifatkan kejayaan mengetuai gergasi Glasgow itu ke final Liga Europa sebagai impian menjadi kenyataan.

Ia selepas mereka meraih kemenangan 3-1 ke atas RB Leipzig hari ini sekali gus menyaksikan juara Scotland itu mara ke final menerusi agregat 3-2.

Tavernier membuka jaringan sebelum Glen Kamara mengukuhkan kedudukan selepas 24 minit pertama perlawanan.

Christopher Nkunku merapatkan jurang untuk Leipzig pada separuh masa kedua, tetapi John Lundstram mengesahkan kemenangan Rangers menerusi golnya sembilan minit sebelum tamat perlawanan.

Anak buah Giovanni van Bronckhorst akan menentang Eintracht Frankfurt pada aksi final di Seville pada 18 Mei yang juga perlawanan akhir Eropah kedua mereka dalam tempoh 50 tahun.

"Ia satu perasaan yang sukar dipercayai apabila dapat beraksi pada final Eropah. Itulah yang semua impikan.

"Kami akan menuju ke final dengan penuh keyakinan. Frankfurt juga pasti mempunyai matlamat tertentu. Tetapi ia hanya satu perlawanan sahaja dan kami pasti akan berikan aksi terbaik," katanya.

Rangers tewas kepada Zenit St Petersburg pada aksi final Piala Uefa 2008 dan terpaksa bermula semula dari divisyen keempat bola sepak Scotland berikutan masalah kewangan pada 2012.

Musim lalu mereka menamatkan rekod Celtic yang meraih sembilan kejuaraan liga berturut-turut dan akan kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2010 jika dapat menewaskan Frankfurt di Ramon Sanchez Pizjuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 7:26 AM