PEMAIN Melaka United (tengah) dikawal dua pemain TFC. FOTO MU
PEMAIN Melaka United (tengah) dikawal dua pemain TFC. FOTO MU
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Risto Vidakovic mengesan beberapa kelemahan selepas skuadnya tewas dalam aksi persahabatan berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam.

Baginya, kekalahan 2-4 memberi input berguna buatnya menjelang aksi berdepan PIB FC pada pusingan pertama Piala FA Khamis ini di gelanggang sama.

Vidakovic berkata, persiapan pasukannya sedikit terjejas selepas latihan terpaksa dihentikan dalam tempoh seminggu disebabkan pemain positif Covid-19 dua minggu lalu.

Menurutnya, aksi persahabatan pertama selepas kuarantin memberi pengajaran bermakna buat merka dalam persediaan mengharungi Piala FA dan Liga Super.

Katanya, prestasi pemain pada separuh masa pertama agak baik tetapi terdapat kesilapan menyebabkan lawan menjaringkan gol pertama.

"Terdapat kelemahan dalam perlawanan berkenaan susulan kekurangan kekerapan latihan disebabkan dalam tempoh kuarantin membabitkan 16 pemain. Justeru, fokus kini ditumpukan untuk memperbaiki kelemahan dalam rentak permainan sama ada ketika bertahan dan menyerang dalam tempoh menjelang perlawanan selepas ini," katanya.

Dalam masa sama dia mahu pemain mengatasi masalah untuk meningkatkan permainan dan beraksi lebih agresif termasuk berdepan Sabah pada 5 April kelak.

Apa yang penting dia mahu permain harus bersedia sepenuhnya dan bermain bersungguh-sungguh menampilkan komitmen tinggi dalam sesi latihan dan perlawanan untuk sentiasa lebih baik.

Gol -gol Melaka semalam dihasilkan menerusi Hasbullah Abu Bakar dan Ifedayo Olusegun sementara jaringan TFC disempurnakan menerusi dua gol Tcetche Kipre, Zuasyraf Zulkiefle dan Hakimi Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 2:14 PM