SEBAHAGIAN aksi Melaka United dengan Terengganu FC. FOTO Melaka United
SEBAHAGIAN aksi Melaka United dengan Terengganu FC. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Ketua Jurulatih Melaka United (MU), Risto Vidakovic tetap bangga dengan persembahan pemainnya walaupun tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat Paya Rumput kelmarin.

Baginya, anak buahnya menampilkan persembahan yang memuaskan dengan memenuhi perancangan awalnya dalam membentuk barisan mantap.

Menurutnya, walaupun pemain agak lambat menyesuaikan diri dengan corak permainan diterapkan namun mereka akhirnya memperolehi rentak yang diinginkannya.

"Apa yang lebih penting pemain berjaya mencipta banyak peluang dengan idea yang amat baik namun nasib tidak menyebelahi pasukan terutama pada babak pertama.

"Justeru, saya yakin mereka akan tampil lebih baik seiring dengan masa dan minit bersama dalam sesi latihan dan perlawanan sebenar kelak," katanya.

Walaupun tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi pra musim, skuad Vidakovic dilihat mula menunjukkan keserasian di atas padang.

Gol kemenangan TFC dalam aksi berkenaan berjaya dihasilkan menerusi sepakan penalti Jordan Mintah pada minit ke-76.

Sementara itu, jurulatih TFC, Nafuzi Zain turut mengakui skuad Hang Tuah beraksi lebih baik dalam aksi persahabatan berkenaan.

"Bagi saya kami tidaklah hebat memandangkan dalam 90 minit permainan menyaksikan pergerakan skuad tuan rumah lebih baik berbanding corak pemainan kami.

"Jadi, kita akan meneliti segala kelemahan dan tidak akan sesekali menganggap kemenangan dalam aksi persahabatan ini sebagai tiket untuk ambil mudah," katanya.

Melaka dijadual beraksi dalam satu lagi aksi persahabatan menentang Selangor FC sebelum membuka tirai aksi Liga Super pada 5 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 1:02 PM