MELAKA United ceria menjulang Piala Piala Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
MELAKA United ceria menjulang Piala Piala Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) muncul juara Piala Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 selepas menewaskan Selangor FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Keputusan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi 90 minit perlawanan.

Dalam perlawanan terbabit tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan Fadhli Shas pada minit ke-16 menewaskan penjaga gol Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Gol berpunca daripada sepakan sudut yang disempurnakan kapten pasukan Sony Norde yang disambut tepat Fadhli menerusi tandukan kencang untuk membuka semangat skuad tuan rumah.

Bagaimanapun import Brazil, Herlison Caion de Sousa berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu selepas bijak melepasi kawalan pertahanan tuan rumah sekali gus mudah menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Gol terbabit membuka nafsu besar pelawat untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-22 menerusi jaringan Hyuri Henrique.

Namun skuad Hijau Putih bangkit menyamakan kedudukan menerusi Norde yang merembat cantik untuk gol penyamaan pada minit ke-43 tetapi Herlison Caion sekali lagi meledak jaringan pelawat (m-79) bagi meletakkan kedudukan 3-2 ke atas Melaka.

Bagaimanapun, pemain gantian Syahrul Azwari berjaya menyamakan kedudukan 3-3 buat skuad Hang Tuah untuk mengheret perhitungan perlawanan menerusi sepakan penalti. Kemenangan berkenaan membolehkan Melaka menjulang Piala TYT dan membawa pulang RM10,000 sebagai juara pertandingan sulung terbabit.

Hadiah kemenangan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.Sementara itu, jurulatih Melaka, Risto Divakovic berkata, dia gembira dengan kesungguhan pemain memberi yang terbaik dalam perlawanan berkenaan.

"Bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki dalam persembahan pasukan. Apapun kemenangan ini untuk tiket mengambil mudah saingan tambahan saya tidak banyak masa sebelum aksi liga bermula.

"Saya akui kesuntukan masa buat pemain bersama dalam perlawanan dan latihan tambahan dengan kemasukan pemain baharu dalam tempoh yang singkat menjadi cabaran buat saya untuk membentuk keserasian antara pemain skuad ini," katanya.

Vidakovic berkata, dia tetap yakin peluang diberikan kepada pemain membolehkan mereka beraksi lebih cemerlang walaupun masanya agak suntuk dengan kemasukan pemain-pemain baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 12:58 PM