PENYOKONG JDT melihat jersi baharu JDT yang dilancarkan di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
PENYOKONG JDT melihat jersi baharu JDT yang dilancarkan di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri : Reputasi Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku juara Liga Super lapan musim berturut-turut dan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) empat musim berturut-turut menarik minat pengeluar barang sukan antarabangsa, Nike untuk terus menaja pasukan itu untuk musim kelapan sejak 2014.

Kerjasama JDT dan pengeluar barangan ternama antarabangsa itu tampak terus utuh dengan pelancaran jersi baharu skuad Harimau Selatan yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, jersi baharu skuad Harimau Selatan itu mengambil inspirasi daripada warna bendera Johor dengan jersi home pasukan JDT terus kekal dengan identiti mereka dalam melakar sejarah dan merangkul kejayaan manakala jersi apabila bertandang di tempat lawan terarah kepada warna putih dan merah jambu.

Pengenalan jersi baharu itu dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi 4 minit 30 saat dengan menyaksikan penampilan beberapa pemain JDT.

Video itu dibuat dengan plot cerita berkonsepkan budaya buli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin berleluasa pada masa kini.

JDT sekeras-kerasnya menentang segala aspek berkaitan budaya buli.

"Masa depan bola sepak juga inklusif, yang merangkumi semua pemain dari pelbagai umur dan latar belakang. Nike komited untuk melabur dalam masa depan bola sepak dan memberi takrifan semula sukan ini buat generasi baharu.

"Tahun ini, kami melancarkan bukan sahaja jersi lelaki malah turut melancarkan jersi wanita dan kanak-kanak sekali gus menyatukan keluarga terhadap sukan kegemaran ini," kata kenyataan oleh pihak Nike.

Harga bagi kedua-dua jersi ini boleh dijual pada harga RM299 sehelai dan untuk pertama kalinya, Nike melancarkan jersi khas untuk saiz Wanita (RM299) dan juga saiz Kanak-kanak (RM235).

Harga jersi pada musim ini yang dijual kepada penyokong berbeza dengan sebelum ini kerana jersi berkenaan adalah 'versi stadium' (stadium version) yang menggunakan material dri-fit yang hampir sama dengan rekaan jersi replika.

"Versi stadium menggunakan kain yang lebih berkualiti berbanding Fan Version yang dijual sebelum ini di mana ia juga menyerupai rekaan asal.

"Jersi JDT Nike musim ini adalah hampir sama dengan jersi pemain. Inovasi Nike memfokuskan kepada potongan jersi dan produk bersifat breathable.

"Ini akan membolehkan penyokong merasai apa yang dipakai oleh pemain dan memberikan perhubungan yang lebih rapat antara mereka," menurut kenyataan itu.

Penyokong JDT boleh mendapatkan jersi berkenaan di JDT Online Store serta pengedar-pengedar berdaftar di bawah Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) yang berada di semua daerah di Johor.

Pada majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Selatan itu, beberapa program diatur dengan persembahan artis tempatan dan pertunjukan pancaran laser dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 9:51 PM