JERSI baharu JDT untuk aksi di laman sendiri  bagi musim ini.  FOTO   FB Johor Southern Tigers
JERSI baharu JDT untuk aksi di laman sendiri bagi musim ini. FOTO FB Johor Southern Tigers
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Juara Liga Super sembilan kali berturut turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan jersi baharu mereka bagi mengharungi musim 2023 yang akan mula membuka tirainya, minggu depan.

Jersi di laman sendiri dan di tempat lawan skuad Harimau Selatan itu diperkenalkan menerusi video klip berdurasi seminit 40 saat di laman Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

Jersi tuan rumah masih mengekalkan identiti bendera Johor iaitu merah biru dengan menggunakan corak 'camouflage' dan lebih menarik, buat pertama kalinya jersi di laman sendiri tampil dengan kolar yang pastinya memberi kelainan buat para pengumpul jersi.

Bagi jersi di tempat lawan pula, JDT mengekalkan warna putih sebagai warna utama selain terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan dan biru di bahagian belakang jersi.

"Ini musim kesembilan JDT bekerjasama dengan Nike yang mana sudah meraikan kejayaan tanpa henti tersebut sejak 2014. Jersi-jersi ini sebagai identiti kolektif bagi legasi kelab dan kejayaan di dalam dan di luar padang," kata Nike.

Jersi baharu pada musim ini juga masih mengekalkan konsep rekaan berteknologi tinggi iaitu 'Nike Dri-Fit'.

Menerusi video klip itu juga, bukan sahaja jersi terbabit digayakan oleh pemain JDT malah turut diserikan dengan penampilan isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Pelancaran jersi baharu yang sangat dinanti-nantikan penyokong setia skuad Harimau Selatan itu 'meletup' di laman media sosial apabila mendapat sambutan hangat.

Hanya dalam tempoh 10 minit klip video terbabit disiarkan, ia sudah mendapat lebih 3,400 tanda suka, lebih 400 komen selain dikongsi lebih 600 kali.

Penyokong boleh mendapatkan jersi berkenaan di stor dalam talian JDT serta pengedar- pengedar berdaftar Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) di semua daerah-daerah di Johor pada harga RM299 sehelai untuk dewasa manakala RM235 bagi kanak kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 10:07 PM