Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengakui Scott O'Donell adalah calon yang tepat untuk dilantik Pengarah Teknikal memandangkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.

Katanya, selepas beberapa tapisan dilakukan, jawatankuasa pemilihan melihat bekas pemain Kuala Lumpur yang berasal dari Australia itu mampu memikul tugas itu.

"Beliau memiliki kelayakan tertinggi dalam bidang kejurulatihan selain Tenaga Pengajar Jurulatih Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Beliau juga sudah biasa dengan bola sepak di Malaysia selain pernah berkhidmat di India, Singapura dan Kemboja.

"Kriteria itulah yang membuatkan kami memilih beliau. Jawatankuasa teknikal dan pengurusan mendapat beberapa permohonan tetapi kami sebulat suara melantik beliau.

"Ini kerana kami berpendapat dia sesuai untuk mengisi kekosongan sebagai Pengarah Teknikal bola sepak Malaysia," kata Saifuddin.

Pengarah Teknikal FAM yang baharu Scott O'Donell ketika sidang media di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
Pengarah Teknikal FAM yang baharu Scott O'Donell ketika sidang media di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama

Sebelum ini, jawatan Pengarah Teknikal dikosongkan sejak September lalu selepas Datuk Ong Kim Swee melepaskan jawatannya untuk mengemudi pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, O'Donell yang pernah bersama Geylang United mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu khususnya dalam membangunkan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

"Selepas berbincang dengan pengurusan tertinggi, mereka faham perancangan yang akan saya lakukan untuk bola sepak. Jelas saya mendapat sokongan yang diperlukan sebagai Pengarah Teknikal.

"Saya tidak sabar untuk memulakan kerja di sini dan berdepan cabaran yang akan mendatang," kata O'Donell.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:23 PM