Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kehadiran jurulatih luar negara untuk mengemudi Harimau Malaya dapat menerapkan corak permainan berbeza kepada pemain kelak.

Setiausaha Agungnya Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, cadangan Pengarah Teknikal baharu FAM Scott O'Donell supaya Harimau Malaya dibimbing jurulatih asing mungkin boleh dipertimbang demi mempertingkatkan lagi kualiti pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, walaupun keputusan muktamad individu yang akan mengendalikan Harimau Malaya masih lagi dalam peringkat perbincangan namun segala cadangan akan diteliti sebelum individu yang layak menyandang jawatan terbabit diumumkan.

"Itu cadangan saja daripada beliau (Scott O'Donell). Kita tidak ketandusan jurulatih tempatan yang bagus untuk membimbing Harimau Malaya.

"Mungkin kehadiran jurulatih asing nanti akan membawa perbezaan kepada pasukan Harimau Malaya. Perkara itu penting bagi memastikan Harimau Malaya mencapai kejayaan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Scott O'Donell mencadangkan supaya Harimau Malaya dibimbing jurulatih asing. Pengendali kelahiran Australia itu yang baru memulakan tugasnya dengan kontrak tiga tahun berkata, kehadiran jurulatih luar perlu untuk kebaikan bola sepak Malaysia bagi jangka panjang.

Katanya, kehadiran jurulatih asing juga mampu mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:02 PM