“Meskipun Selangor agak terumbang-ambing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang musim ini, harus diakui setiap kali cabaran Piala Malaysia berlangsung aksi pemain Gergasi Merah turut berubah seolah-olah ada ‘aura’ tersendiri yang mendorong mereka beraksi lebih baik.

Berdasarkan keputusan perlawanan dari peringkat kumpulan hingga ke saingan separuh akhir, ternyata anak buah K Gunalan berada dalam kelasnya tersendiri untuk mempertahankan piala itu buat kali kedua berturut-turut.

Kemasukan bekas tonggak pertahanan Queens Park Rangers Ugo Ukah (gambar) pada jendela perpindahan kedua pemain Jun lalu, menyaksikan benteng pertahanan Selangor kini berubah hampir 360 darjah apabila tampil lebih ampuh berbanding sebelum itu yang kerap bocor.

Kehadiran Ukah yang bergandingan bersama Rizal Fahmi Rosid cukup kental untuk menghalang percubaan lawan yang kemudiannya memberi keyakinan tambahan kepada pemain lain.

Bukan itu saja, impak ‘Messi Indonesia’, Andik Vermansyah yang dilantik sebagai ketua pasukan pada Ogos lalu turut membawa angin perubahan kepada pasukan Selangor.

Kelincahan Andik di bahagian sayap sering kali mencetuskan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti lawan yang memudahkan rakan sepasukan lain seperti Ahmad Hazwan Bakri, Patrick Ronaldinho dan R Gopinathan menghasilkan gol.

Malah, beraksi di gelanggang sendiri pada aksi final malam ini dilihat sebagai kelebihan buat skuad Merah Kuning buat kali kedua berturut-turut.

Saya yakin, Selangor akan berjaya melunaskan misi ke-34 mereka malam ini dengan memenangi perlawanan menerusi keputusan 1-0 ke atas Kedah.

- Firdaus Hashim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:07 AM