NORDE (kanan) idam lakar sejarah layak ke final Piala Malaysia musim ini. FOTO GHAZALI KORI
NORDE (kanan) idam lakar sejarah layak ke final Piala Malaysia musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Sony Norde tekad untuk mencipta sejarah peribadi pertama layak ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Jelas pemain kelahiran Haiti itu, prestasi pasukannya yang kini berada pada landasan terbaik menambah lagi keyakinannya untuk memburu tiket ke pentas final piala berprestij itu.

Katanya, tempoh selama empat musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula dengan menyarung jersi Melaka United (MU) pada 2020 memberi tonik kepadanya untuk membantu pasukan mara ke final.

TFC yang mengetepikan Selangor FC pada aksi suku akhir dengan agregat 3-1 bakal berdepan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir pertama pada Sabtu ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum aksi timbal balik pada 3 November depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

"Saya boleh rumuskan pasukan kami kini berada dalam 'mood' dan moral yang terbaik dan sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan skuad KL City pada Sabtu ini.

"Lagipun secara peribadi saya idam untuk mencipta sejarah pertama layak beraksi di pentas final Piala Malaysia selepas hampir empat musim bermain dalam saingan Liga M.

"Justeru saya dan pasukan akan cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan layak ke final lebih-lebih lagi kami berada pada landasan dan momentum terbaik terutama berjaya merakam kemenangan dan seri dalam dua perlawanan awal Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), harap kemenangan mengiringi kami," kata pemain berusia 34 tahun itu.

Bagaimanapun pemain yang sudah menjaringkan lima gol bersama TFC pada musim ini menerusi 18 penampilannya menasihati dirinya serta rakan sepasukan tidak mengambil mudah kerana lawan pasukan liat untuk ditewaskan.

"Kita tahu pasukan KL City mempunyai ramai pemain yang berkualiti seperti Paulo Josue, Kipre Tchetche dan Romel Morales, jadi semestinya pasukan mereka mempunyai pemain yang lengkap.

"Lagipun mereka pernah mengecewakan kami pada aksi separuh akhir Piala FA pada Jun lalu, jadi kami harus bersedia daripada segi fizikal dan fizikal.

"Kepada penyokong, berilah sokongan padu bagi menyuntik semangat kami ketika beraksi sama ada di tempat lawan ataupun di Kuala Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 2:08 PM