AKSI Ronaldo (kiri) meraikan jaringan bersama  Goncalo Guedes di Stadium Algarve.
AKSI Ronaldo (kiri) meraikan jaringan bersama Goncalo Guedes di Stadium Algarve.
Agensi

Lisbon: Cristiano Ronaldo meledak hatrik antarabangsanya ke-10 ketika menewaskan Luxembourg 5-0 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi tadi.

Bintang Manchester United itu menjaringkan dua penalti dalam tempoh enam minit dan melengkapkan hatrik pada minit ke-87 menerusi tandukan manakala Bruno Fernandes dan Joao Palhinha turut mencipta nama sebagai penjaring.

Bagaimanapun, Portugal kekal satu mata di belakang Serbia dalam Kumpulan A yang menewaskan Azerbaijan 3-1 di tempat sendiri.

Hatrik Ronaldo awal pagi tadi itu juga yang ke-58 sepanjang kariernya dan kini sudah mengumpul 115 gol buat Portugal.

Dia yang memintas rekod 109 gol antarabangsa milik bekas pemain Iran, Ali Daei bulan lalu turut mencipta rekod dengan 181 penampilan ketika menentang Qatar dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Ronaldo mengatasi catatan bekas rakan sepasukan di Real Madrid, Sergio Ramos sebagai pemain Eropah paling banyak beraksi di peringkat antarabangsa namun masih jauh ketinggalan di belakang pemegang rekod dunia Soh Chin Ann. Legenda bola sepak Malaysia itu tampil 195 kali bersama pasukan kebangsaan negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 8:18 AM