RONALDO muncul pemain pertama cipta 10 hatrik di peringkat antarabangsa.
RONALDO muncul pemain pertama cipta 10 hatrik di peringkat antarabangsa.
Agensi

London: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo berkata dia tidak akan jemu merobek gawang lawan dan terus memburu gol selepas menambah koleksi jaringan antarabangsanya.

Ronaldo meneruskan rekod jaringannya yang menakjubkan apabila meledak jaringan antarabangsa ke-115 awal pagi tadi.

Dia mencipta hatrik kesepuluh dalam kariernya bersama Portugal manakala rakan sekelab Bruno Fernandes turut membolosi gawang lawan ketika membelasah Luxembourg 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Dia kini muncul pemain pertama di peringkat antarabangsa yang meledak 10 hatrik untuk negaranya selain mengatasi rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik legenda Iran, Ali Daei bulan lalu.

Selepas kembali ke Old Trafford awal tahun ini, Ronaldo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 ketika menentang Ireland untuk jaringan ke-110 sekali gus memintas rekod Daei. Penyerang Manchester United itu sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan yang juga ke-111 untuk melengkapkan kebangkitan pasukannya dan gol ke-112nya hadir ketika menentang Qatar dalam aksi persahabatan pada Ahad lalu.

Dalam Instagramnya, Ronaldo bercakap mengenai malam bersejarah itu, memuji penyokong dan berjanji akan terus memburu jaringan.

Ronaldo menulis: "Satu lagi kejayaan, satu langkah lagi ke arah cita-cita kami, satu lagi malam bersejarah bersama jersi ini!

"Semuanya menjadi lebih mudah apabila beraksi di tempat sendiri dan di hadapan penyokong yang setia memberi sokongan sehingga minit terakhir.

"Saya berjanji akan memburu dan terus memburu untuk mendapatkan gol! Ia ada dalam DNA saya dan DNA kita, kita akan terus berusaha dan terus maju."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 2:27 PM