Ronaldo (kiri) dicabar pemain Luxembourg pada aksi kelayakan Euro 2020 di Lisbon, awal pagi ini. FOTO AFP
Ronaldo (kiri) dicabar pemain Luxembourg pada aksi kelayakan Euro 2020 di Lisbon, awal pagi ini. FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo menambah enam gol di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan gol ketika Portugal menewaskan Luxembourg, 3-0 untuk meletakkan juara bertahan itu di landasan tepat untuk beraksi di pusingan akhir Euro 2020.

Bintang veteran itu menjaringkan gol ke-94 buat Portugal dan mencatat 699 gol keseluruhan dalam karier apabila menemui jaringan pada separuh masa kedua selepas Bernardo Silva menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama.

Tiga mata mengekalkan Portugal di kedudukan kedua Kumpulan B, lima mata di belakang Ukraine yang menewaskan Lithuania 2-0. Kedua-dua pasukan akan bertemu di Kiev pada awal pagi, Selasa ini.

“Pada peringkat awal 25 minit kami sangat bagus, sangat dinamik dan mencipta peluang,” kata Fernando Santos yang meraikan sambutan tahun kelima sebagai jurulatih Portugal.

“Kemudian kami hilang tumpuan, Luxembourg semakin selesa tetapi tidak memanfaatkan peluang. Selepas rehat, kami melakukan permulaan baik dan saya fikir kami cepat mengawal permainan, tetapi selepas gol kedua, pemain mula memikirkan perlawanan di Ukraine.”

Portugal mendahului di Estadio Jose Alvalade gelanggang bagi pasukan Sporting Lisbon pada minit ke-16.

Gerakan yang cetuskan pertahanan Barcelona, Nelson Semedo mengelirukan penjaga gol Luxembourg, Anthony Moris dan perancang tengah Manchester City, Silva berada di kedudukan baik untuk menolak mudah gol pembukaan itu.

Ronaldo memperoleh peluang awal menjaringkan gol pada separuh masa kedua namun rembatan mudah diselamatkan Moris.

Bagaimanapun, dia tidak melakukan kesilapan pada minit ke-65 apabila memastikan jaringan antarabangsa ke 94 ketika merampas bola daripada Maxime Chanot sebelum melantunkan bola melepasi jangkauan Moris. Sebelum Goncalo Guedes melengkapkan kemenangan selesa Portugal beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Ronaldo pemain berusia 34 tahun, hanya 15 gol di belakang untuk mengatasi rekod penjaring gol terbanyak yang dipegang bekas penyerang Iran, Ali Daei iaitu 109 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 9:54 AM